Kenaikan harga minyak masak serta petrol dan diesel baru-baru ini telah menimbulkan kesan rantaian peningkatan harga hampir kesemua barang-barang keperluan pengguna sepanjang bulan November.
Timbalan Pengerusi Amanah Perak Datuk Seri Ir Nizar Jamaluddin menyifatkan tindakan kerajaan BN memotong sebagai suatu penindasan yang tidak sewajarnya berlaku memandangkan Malaysia kaya dengan hasil bumi.
“Kenaikan harga yang terlalu memberi gambaran jelas kerajaan sedang menekan rakyat.
“Terutamanya bagi golongan miskin dan berpendapatan rendah, mereka ini bergelut menghadapi bermacam-macam kos seperti bil-bil bulanan, perbelanjaan anak sekolah, kos pembelian barang di pasar dan lain-lain keperluan harian.
“Kerajaan boleh berperanan menurunkan kenaikan harga ini dengan mengembalikan subsidi dan memperbanyak barangan yang dikecualikan GST. Kerajaan tidak patut lepas tangan dalam hal ini,” kata Nizar.
Tinjauan Suara pakatan daily di Segambut, Kuala Lumpur mendapati rata-rata rakyat mengeluh dengan situasi ekonomi yang kian parah di bawah pentadbiran PM Najib Razak.
Seorang penjual nasi lemak, puan Ramlah, 55, berkata beliau terpaksa menaikkan harga nasi lemak, ayam goreng dan mi siam yang dijualnya kerana harga bahan mentah naik melambung sejak beberapa hari lalu.
“Saya tidak tahu mengapa dan kenapa kerajaan naikkan harga dengan tiba-tiba. Kerajaan patut lebih prihatin kepada rakyat berpendapatan rendah.
“Kalau harga petrol dan diesel naik, janganlah naikkan harga minyak masak pula. Macam mana rakyat dari golongan miskin dan sederhana ini hendak teruskan hidup?” tanya Ramlah dengan nada suara marah.
Beliau juga mendakwa mendengar desas-desus kemungkinan Cukai Barangan dan Perkhidmatan akan dinaikkan sekurang-kurangnya 1%, daripada 6% menjadi 7% selepas pilihan raya umum nanti dan ini amat menakutkan, katanya.