Beberapa keistimewaan kepada Bumiputera seperti kuota di institut pengajian tinggi awam dan diskaun pembelian rumah adalah bersifat sementara bagi menangani masalah spesifik, kata seorang pemerhati politik.
Azrul Mohd Khalib daripada badan pemikir Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas) juga tidak bersetuju dengan pihak tertentu yang sering meluaskan interpretasi Perkara 153 Perlembagaan Malaysia.
“Kelebihan seperti kuota universiti atau diskaun pembelian rumah, tidak diniatkan kekal,” Azrul memberitahu FMT.
“Semua ini langkah sementara bagi membantu masyarakat Bumiputera dan terbatas kepada beberapa bidang.”
Katanya, kerajaan dilihat menambah pelbagai kelebihan kepada kaum Melayu yang disalah takrif sebagai hak istimewa.
Menurut Azrul, tidak ada istilah “hak Melayu” dalam Perlembagaan Malaysia.
“Perkara 153 hanya menyebut kedudukan istimewa Melayu dan ia tidak juga menyebut istilah ‘Bumiputera’.”
Azrul turut mengingatkan kandungan bahagian kedua Perkara 153 yang selalu diabaikan, yang menjamin hak bukan Melayu.
Katanya, peluang untuk bukan Melayu tidak boleh dinafikan hanya kerana wujud kuota untuk Bumiputera.
“Misalnya, Parlimen tidak boleh membataskan sebarang perniagaan atau urusniaga kepada Bumiputera semata-mata, penjawat awam perlu dilayan sama rata tanpa mengira bangsa, dan undang-undang mengkhususkan kuota lesen perniagaan tidak boleh menafikan pemegang lesen yang sedia ada memperbaharui lesen mereka.”
Azrul berkata kumpulan berhaluan kanan Melayu sering menggunakan peranan Agong dalam perlembagaan bagi mematikan sebarang perbincangan mengenai keistimewaan yang diberikan kepada Bumiputera.
Ini menyebabkan dasar mengutamakan kaum itu diteruskan malah dieksploitasi.
“Polisi afirmatif perlu berdasarkan keperluan, bukan kaum,” katanya.
“Mengapa seseorang perlu diberi diskaun membeli rumah berharga RM5 juta? Mengapa perlu ada universiti dan asrama hanya untuk Melayu?”