Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia Tun Mahathir berkata pihak yang tidak mehyokong perjuangan Pakatan Harapan jelas menyokong BN.
Biar pun beliau tidak menamakan pihak yang dituduh itu namun lebih 1,000 hadirin di konvensyen pertama Pakatan Harapan di IDCC, Shah Alam maklum ungkapan itu ditujukan kepada Pas yang berdolak dalih untuk bersama PH dan lebih mesra bersama Umno sejak 2015.
“Mereka mendakwa berjuang untuk orang Melayu. Sebenarnya mereka sokong Najib. Mungkin mereka terima dedak.
“Anda tak boleh kata tak mahu sertai Pakatan kerana DAP salah satu parti komponennya. Itu bukan alasan sebenar,” katanya.
Pakatan Rakyat yang menggabungkan PAS, DAP dan PKR terkubur tahun lalu selepas pertelingkahan secara terbuka antara PAS dan DAP dengan pemimpin PAS berkata parti itu tidak akan lagi bekerjasama dengan DAP.
Mahathir menolak sepanuhnya alasan tidak boleh bersama dalam PH kerana kewujudan DAP.
“Saya dulu paling anti DAP, tapi itu terlalu kecil berbanding usaha jatuhkan Najib
“Orang ini sangat berbahaya kepada negara. Hutang negara tak dapat bayar. Sudahlah tak cukup untuk bayar hutang 1MDB, kini pinjam pula kononnya nak buat landasan keretapi RM55 bilion.
“Sebelum ini dia ada RM2.6 bilion dalam akaun, kononnya Tok Arab bagi. Saya minta nak buat universiti Islam, saya dapat kosong,” katanya.
Bagi beliau, tidak ada siapa yang nak percaya kepada Najib selepas kes RM2.6 bilion itu.
“DoJ telah sahkan wang RM2.6 bilion itu datangnya dari 1MDB,” kata Mahathir merujuk kepada Jabatan Kehakiman Amerika yang bertindak membekukan aset 1MDB di Amerika dan sedang memburu dalang di belakangnya.
Di samping itu, dalam pidato khasnya Mahathir mengulangi seruan agar pembangkang bertanding menggunakan satu simbol sebagaimana kejayaan BN.
“Kalau kita nak kalahkan BN satu cara sahaja iaitu dengan bersatu. Kita daftar seolah-olah satu parti, kita guna satu simbol. Kita letak satu calon. Tak kira DAP ke, Amanah ke, PKR ke…asalkan itu calon kita,” tegas Mahathir.
“Hanya dengan cara itu kita akan dapat kemenangan,” katanya.
Penamat ucapan Mahathir diiringi sorakan “Reformasi” dan “Bebas Anwar” dengan sebahagian besar hadirin berdiri (standing ovation) memberikan tepukan gemuruh untuk beliau.