Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Tan Sri Muhyiddin Yassin memohon maaf kepada Pakatan Harapan kerana menangguhkan pemeteraian perjanjian antara PPBM dengan gabungan pembangkang itu.
Berucap di Konvensyen Pakatan Harapan di Shah Alam hari ini, Muhyiddin berkata beliau bersetuju dengan sebahagian besar perjanjian tersebut namun tegasnya semua pemimpin harus duduk berbincang dan meneliti setiap satu terma perjanjian.
“Saya minta maaf tangguhkan pemeteraian kerjasama parti Bersatu dalam Pakatan Harapan.
“Saya amat serius dalam mengurus hal-hal berkaitan majlis menandatangani perjanjian Bersatu bersama Pakatan Harapan.
“Semua pemimpin mesti duduk berbincang meneliti atas setiap satu terma. Saya bersetuju pada sebahagian besar perjanjian tersebut.
“Perjanjian ini juga perlu melakukan reformasi dan merangka dasar-dasar bersama berkaitan kepentingan rakyat.
“Di pihak parti Bersatu, kita akan adakan mesyuarat secara menyeluruh satu, dua hari ini selari dengan tuntutan Islam yang menggalakkan musyawarah,” katanya.
Muhyiddin juga mengakui PPBM tidak boleh berdiri secara bersendirian dan mustahil untuk menang jika bertanding sendirian dan menyifatkan pertandingan tiga penjuru merupakan malapetaka besar.
“Tiga penjuru bawa malapetaka yang besar. Kalau kita satu lawan tiga, kita tidak mungkin mendapat kemenangan.
“Justeru amat penting bagi kita capai kata sepakat bertanding satu sama satu. Kita perlu cari formula terbaik untuk mengelak pertembungan sesama sendiri untuk tujuan besar menjatuhkan rejim yang jahat lagi khianat ini,” ujarnya yang juga ahli parlimen Pagoh.
Justeru kata Muhyiddin Pakatan Harapan mesti menyediakan satu “road map” yang mantap bagi menghadapi pilihan raya umum (PRU) ke-14.
“Kita juga bersedia menjalinkan hubungan dengan parti-parti di luar Pakatan Harapan di Sabah dan Sarawak,” katanya.
Selain itu, bekas timbalan perdana menteri itu mencadangkan jawatankuasa khas ditubuhkan bagi membincangkan pengagihan kerusi dalam PRU14.
“Saya mencadangkan satu jawatankuasa ditubuhkan untuk tujuan pengagihan kerusi parlimen pilihan raya.
“Rakyat sebenarnya tiada pilihan. Ke mana saya pergi mereka berkata tunggulah pilihan raya untuk menolak BN.
“Mereka mahu kerajaan yang bersih, beramanah dan bertanggungjwab. Rakyat meletakkan harapan tinggi pada Pakatan Harapan untuk menerajui negara selepas PRU14,” katanya. Malaysia dateline