Perkembangan terkini keadaan ekonomi dan politik Malaysia sejak kebelakangan ini membimbangkan pelabur asing yang menanam modal.
John Law, 60, seorang pelabur asing dari Barat yang melabur di Selangor berkata, ekonomi Malaysia muktahir ini sedang menghadapi satu situasi yang sukar berikutan nilai matawang menyusut ke paras RM4.37 untuk 1 Dolar Amerika (AS$1).
Katanya, kemerosotan pasaran saham baru-bru ini bukan akibat faktor kemenangan Donald Trump sebagai presiden Amerika Syarikat seperti di negara-negara Asia lain tetapi diakibatkan pelbagai faktor kelemahan sebelum itu.
“Ada beberapa faktor yang mengakibatkan kemerosotan ekonomi selain dari kemenanangan Donald Trump dalam pilihan raya memilih Presiden Amerika Syarikat pada 8 November lalu.
“Faktor-faktor tersebut ialah masalah imej negara yang terjejas disebabkan oleh isu 1MDB dan siasatan berterusan yang dijalankan oleh Department Of Justice (DOJ) di Amerika Syarikat serta ‘political uncertainty’ atau keadaan politik yang tidak berapa stabil dan tanpa hala tuju yang jelas.
“Saya juga perhatikan bahawa tarikh pilihan raya umum yang tidak ditentukan awal telah menjadi satu permainan teka-teki di kalangan rakyat dan ketidakpastian ini bukanlah baik untuk mewujudkan satu iklim pelaburan yang sihat,” katanya.
Beliau menegaskan, ugutan puak baju merah terhadap baju kuning menambah lagi barometer tekanan politik yang menggusarkan pelabur.
Selain itu, katanya kekurangan bekalan makanan asas seperti minyak masak juga memberi imej negatif ke atas ekonomi.
“Kekurangan dana diperuntukkan untuk Kementerian Kesihatan dan kes kebakaran dua buah hospital di Semenanjung baru-baru ini serta kekurangan bekalan minyak masak jenama terkenal telah memudaratkan imej baik Malaysia kerana ia menggambarkan seolah-olah Malaysia mengalami kekangan kewangan yang parah sehingga kesihatan rakyat terjejas.
“Isu minyak masak menunjukkan walaupun Malaysia adalah pengekspot minyak kelapa sawit kedua besar di dunia, rakyatnya terpaksa membayar kos yang tinggi untuk menikmati faedah ini. Jelaslah ia kegagalan pengurusan oleh pihak kerajaan”, tambah beliau
John berkata jika isu-isu di atas tidak diuruskan dengan baik, maka para pelabur asing akan menarik keluar modal mereka andainya situasi bertukar menjadi di luar kawalan.