Enam hari selepas tunjuk perasaan besar-besaran Bersih di Malaysia dan di beberapa bandar utama dunia, hari ini Perdana Menteri Malaysia Najib Tun Razak disambut penunjuk perasaan berpakaian kuning di London.
kira-kira 30 orang terdiri dari rakyat Malaysia dan asing berkumpul di Mansion House di London sejam sebelum ketibaan Najib yang dijadual mengakan pertemuan dengan tokoh perniagaan Britain.
Mereka membawa sepanduk yang mengecam kekerasan melampau polis Malaysia menumpaskan tunjuk perasaan Bersih minggu lalu. selain itu terdapat juga sepanduk yang memaparkan gambar 6 orang pemimpin dan aktivis PSM yang masih ditahan melalui Ordinan Darurat. Kain rentang dan sepanduk meminta agar mereka dibebaskan segera dan tidak menunggu sehingga akhir tempoh tahanan 60 hari.
Menurut pemerhati, Najib sempat melambai kepada penunjuk perasaan yang berlangsung dengan aman. Kehadiran polis adalah minimum dan mereka juga agak mesra.
Najib kini dalam lawatan rasmi lima hari ke London atas jemputan rasmi rakan sejawatannya Perdana Menteri David Cameron.
Semalam, beliau dengan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor juga sempat menghadap Ratu Elizabeth II di Istana Buckingham sebelum mengadakan pertemuan dua hala dengan David Cameron di No 10, Downing Street. Sama ada disengajakan atau tidak Ratu telah memakai baju kuning berbunga putih menyambut kedatangan Najib. Gambar tersebut hanya disiarkan oleh akhbar berbahasa Inggeris di Malaysia.

Ratu Elizabeth juga berbaju kuning
Turut mengiringi mereka adalah Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman dan beberapa pegawai kedutaan.
Difahamkan terdapat berlaku tunjuk perasaan sewaktu ketibaan Najib di No 10, Downing Street. Manakala petang ini ketika Najib dijadualkan akan menghadiri satu majlis di hotel Inter Continental pada pukul 7 p.m satu lagi tunjuk perasaan akan diadakan membantah kehadirannya.