Ahli Parlimen Ampang Zuraida Kamaruddin menyaman ketua Baju Merah, Datuk Jamal Yunos kerana memfitnah, menuduhnya menjadi dalang dalam kejadian beliau ditumbuk hingga hidungnya berdarah.
Dalam penyata tuntutannya, wakil rakyat PKR itu mendakwa kenyataan Jamal kepada umum pada 13 November menuduh beliau memukul hidungnya, mencemarkan reputasinya sebagai tokoh masyarakat.
“Perkataannya menuduh plaintif (Zuraida) terbabit dengan kesalahan jenayah dan beliau mengarahkan ejennya untuk melakukan serangan,” katanya.
Zuraida berkata beliau sudah menghantar surat menuntut Jamal memohon maaf dalam tempoh 48 jam menerusi peguamnya pada keesokan harinya.
“Namun, dia membalas permohonan maaf itu dengan lebih banyak hinaan, dan berkata dia terpaksa buat begitu kerana dia terpaksa menyelak kain beliau,” kata Zuraida dalam kenyataannya.
Tuntutan saman itu difailkan di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.
Zuraida yang juga ketua Wanita PKR menuntut ganti rugi am selain injunksi menghalang Jamal membuat komen menghina lagi.
Bercakap kepada wartawan selepas memfailkan saman itu, Zuraida berkata beliau berharap tindakan itu “akan memberi pengajaran kepada Jamal”.
“Selama ini dia ingat boleh bebas menuduh orang lain. Sudah tiba masa menghentikan tindakannya. Negara ini ada undang-undang,” katanya.
Zuraida juga mendesak ketua polis negara “berbuat sesuatu”.
“Dengan begitu banyak laporan polis dibuat terhadapnya, tetapi dia masih bebas naik helikopter macam negara ini tidak ada undang-undang,” katanya.
Peguam N Surendran yang mewakili Zuraida berkata pasukan perundangan mereka tidak sabar untuk bertemunya di mahkamah.
“Kami ada banyak soalan hendak tanya dia,” katanya.
Bulan lalu, Pengerusi Bersih 2.0 Maria Chin Abdullah turut menyaman ketua Umno Bahagian Sungai Besar itu kerana mendakwa Bersih ialah ejen IS pada satu sidang akhbar di PWTC dan Bukit Aman.
Beliau mendakwa reputasinya terjejas dengan tindakan Jamal dan kenyataannya yang mengaitkan Marina dengan kumpulan keganasan.
Terdahulu, beliau turut menghantar surat tuntutan pada 4 Oktober meminta Jamal memohon maaf dalam tempoh 48 jam.
Bagaimanapun, Jamal mengadakan sidang akhbar keesokan harinya dan memberitahu wartawan beliau tidak akan mohon maaf.
Beliau juga memasukkan surat tuntutan itu dalam mangkuk tandas. FMT