Dewan Pemuda PAS Pusat (Malaysia) mengecam kenyataan tidak berpijak di bumi nyata beberapa orang tokoh akademik yang meminta dilucutkan kerakyatan kepada sesiapa yang cuba mencetuskan revolusi di Malaysia.
Isunya, tidak ada mana-mana pihak yang cuba mencetuskan revolusi, sebaliknya huru-hara atau anarki hanya akan berlaku jika suara yang cuba disampaikan oleh rakyat secara aman disekat. Perkara seperti itu telah banyak terjadi di negara-negara dunia ketiga yang pemerintahnya terlalu menekan rakyat.
Sehubungan itu, Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat Dr Raja Ahmad al Hiss kesal dengan kenyataan sumbang Profesor Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Madya Dr. P.Sivamurugan yang mencadangkan kerajaan mempertimbangkan untuk melucut kerakyatan mana-mana individu atau pihak yang cuba mencetuskan revolusi.
“Bagi kami kenyataan seperti itu bukan berdasarkan realiti tetapi lebih kepada emosi atau suara Umno semata-mata. Sepatutnya ahli akademik berhujah berdasarkan ilmu dan fakta bukannya kepada laporan media arus perdana yang jelas berat sebelah bagi menafikan impak sebenar kebangkitan rakyat pada himpunan Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0) 9 Julai yang lalu.
“Definisi revolusi adalah keterlaluan bagi perkara yang tersirat di dalam himpunan aman tersebut, dan terlalu jauh perkara yang dimaksudkan,” katanya.
Dewan Pemuda PAS juga kesal dengan kenyataan Prof Ramlah Adam yang bermaksud hampir sama dengan Dr Sivamurugan. Kedua-dua mereka seolah-olah tidak mahu membezakan di antara perlakuan yang dibenarkan oleh amalan demokrasi dan perlakuan revolusi yang mengetepikan sama sekali lunas undang-undang.
“Bagi kami Dr Sivamurugan dan Dekan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof. Datuk Dr. Ramlah Adam terlalu dangkal dalam politik dan tidak faham Perlembagaan Negara yang cukup luas taksirannya mengenai bentuk demokrasi dalam negara kita.
“Kami ingin mencadangkan dalam bentuk ilmiah untuk bersemuka dengan para ahli akademik dan mencabar berdebat isu Perlembagaan dan Undang-Undang Negara. Kami tidak mahu wujud ahli akademik yang membentuk satu permahaman songsang mengenai erti demokrasi dalam negara ini,” tambahnya.