Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) berkata pihaknya “tidak temui alasan yang kuat” untuk mewajarkan penahanan penganjur tunjuk perasaan semalam dan menggesa pihak berkuasa menjelaskan asas tangkapan mereka.
Dalam satu kenyataan hari ini, suruhanjaya menegaskan “perhimpunan tidak haram” dan pemerhatian mereka mendapati penganjur mengendalikan acara dengan sewajarnya tanpa mengancam ketenteraman awam dan keselamatan negara.
“Suhakam mengiktiraf semangat peserta melaksanakan hak kebebasan bersuara dan menunjuk perasaan secara aman meskipun pihak berkuasa mendirikan halangan sepanjang beberapa laluan di Kuala Lumpur,” kata suruhanjaya.
Sebarang usaha menghalang perhimpunan aman bercanggah dengan Perlembagaan dan boleh dicabar di mahkamah, kata suruhanjaya itu dalam satu kenyataan oleh Pengerusi Tan Sri Razali Ismail.
Suhakam berkata pihak berkuasa wajib di sisi perlembagaaan untuk menjelaskan asas tangkapan dan menjelaskan kesalahan yang didakwa dilakukan para tahanan.
Polis turut dipuji kerana memudahkan dan menguruskan himpunan terbuka serta menghormati hak penunjuk perasaan untuk mengadakan himpunan balas. FMT