Gabungan pro autonomi Sarawak For Sarawakians (S4S) mengadakan himpunan hari ini ketika Dewan Undangan Negeri (DUN) bersidang kali terakhir bagi tahun ini.
Mendesak wakil rakyat untuk menegaskan sokongan mereka untuk menuntut semula hak negeri itu, seramai 400 penyokong S4S hadir mendesak usul dibentangkan untuk mengembalikan pindaan 1976 bagi Artikel 1(2) Perlembagaan Persekutuan.
Artikel itu menurunkan status Sarawak daripada rakan setaraf di Malaysia kepada salah satu daripada 13 negeri dalam negara.
Rabu lalu, Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem memutuskan untuk tidak membentangkan usul itu, memetik kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengenai kemungkinan perbincangan autonomi pada masa depan.
Himpunan hari ini terdiri daripada penyokong S4S dari Kuching, Balai Ringin, Gedong, Serian dan Lubok Antu.
Pemimpin S4S Chan Chee Hiong yang mengetuai himpunan itu melaungkan “Sarawakians for Sarawak” sementara penyokong memegang plakad dan kain rentang mendesak Adun menyokong pelbagai isu berkaitan autonomi.
Tetapi apa yang paling dibimbangkan ialah isu menggugurkan usul berkenaan yang secara simboliknya mendesak Putrajaya untuk melihat hak Sarawak seperti tertera dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), Laporan Jawatankuasa Antara-Kerajaan (IGC) 1963 dan Laporan Suruhanjaya Cobbold 1962.
“Kami di sini untuk beritahu Adun kami untuk menyatakan pendirian Sarawak. Mereka dipilih untuk berjuang bagi pihak kami. Tidak kira siapa perintah Sarawak, kerana mereka yang buat pendirian,” kata jurucakap S4S Hanim Haraee.
Hanim yang datang dari Miri berkata kumpulan itu akan menyokong “sesiapa saja di dalam” yang akan membentangkan usul itu.
“Itu yang paling penting. Isu ini bukan untuk ketua menteri saja. Ini isu untuk semua warga Sarawak tanpa mengira bangsa atau agama,” katanya kepada FMT.
Seorang lagi jurucakap S4S, Karen Sheperd berkata himpunan aman hari ini pada asalnya dirancang sebagai cara melahirkan sokongan terhadap usul berkenaan sebelum ia ditarik balik.
“Kami tahu membentangkan usul itu dalam Dewan tidak akan menyelesaikan masalah itu serta-merta, tetapi sebenarnya ia sebahagian daripada proses yang akan bermula kini.
“Ketua menteri sekarang tidak akan jadi ketua menteri selamanya. Saya bukan hendak cakap sesuatu yang teruk, ia cuma fakta semula jadi. Dan perdana menteri tidak akan jadi perdana menteri selamanya.
“Maka, demi kebaikan Sarawak, proses ini perlu didokumenkan. Kami rasa usul itu akan disokong semua parti dalam Dewan,” katanya.