Walaupun Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar menghalang tindakan penyokong Pengerusi Bersih 2.0 Maria Chin Abdullah berkumpul di Dataran Merdeka, amarannya itu tidak dipedulikan. Malam tadi hampir 1,000 aktivis Bersih memenuhi Dataran Merdeka untuk bersolidariti atas penahanan Maria yang masuk hari keenam.
Perhimpunan yang bermula sejak jam 8 malam itu berakhir jam 11 dan diisi dengan pidato pemimpin-pemimpin pembangkang dan aktivis. Turut memberi sokongan adalah Presiden PKR Dr Wan Azizah Ismail.
Presiden Amanah Mohamad Sabu dalam pidatonya membidas tindakan polis mengunakan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 Sosma yang sepatutnya digunakan ke atas pengganas dan bukannya aktivis himpunan aman.
“Maria bukan pengganas… saya sudah bermesyuarat berbelas kali dengannya, saya tidak pernah dengan dia menyebut untuk menjatuhkan kerajaan.
“Kita tidak boleh buat apa kalau demokrasi tidak sempurna, pilihan raya tidak bebas dan rakyat dikongkong.
“Oleh itu bagi saya perjuangan Maria Chin dan rakann-rakannya adalah perjuangan suci untuk rakyat Malaysia
“Apa yang dia mahu perjuangannya untuk membebaskan rakyat Malaysia… bukan menjadi sunat lagi dah menjadi wajib membela orang seperti Maria Chin,” ujar Mat Sabu
Dalam ucapan itu Mat Sabu juga menyindir Maria tidak mendapat kemewahan daripada perjuangannya, jauh sekali menggunakan wang rakyat untuk keluarga dan anak-beranak.
“Maria dengan umurnya sekarang dia nak apa lagi? Dia bukan nak cincin RM2.4 juta, Maria tak mahu beg tangan mahal dan tak tahu pakai ‘sun glasses’… Maria cukup ‘simple’ hidupnya sederhana,” ujar Mat Sabu sinikal.
Tegas Mat Sabu lagi Maria Chin yang ditahan sejak Jumaat lalu wajib dibebaskan.
“Saya gembira dia nakkan al-quran… saya akan berdoa dan bersolat hajat agar Maria Chin dibebaskan.
“Jika dia boleh tangkap Maria Chin bawah Sosma sedangkan dia bukan pengganas dia boleh tangkap siapa saja termasuk saya yang bercakap ni…” ujarnya yang merujuk kepada amaran Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar hari ini terhadap penyokong pembebasan Maria Chin agar tidak meneruskan perhimpunan setiap malam seperti dirancangkan penganjur.
Khalid dalam kenyataan hari ini dipetik berkata di kalangan penganjur dan penyokong perlu mematuhi peraturan di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012 atau berhadapan dengan tindakan kerana berhimpun tanpa notis.