Kerajaan DAP Pulau Pinang akan membiayai sepenuhnya kos pembinaan jambatan ketiga yang dianggar kurang daripada RM2 bilion dan tidak dikenakan bayaran tol apabila sedia digunakan kelak, kata seorang exco kerajaan negeri.
Exco Kerja Raya, Utiliti dan Pengangkutan negeri Lim Hock Seng berkata sehubungan itu, kertas cadangan pembinaan jambatan itu akan dikemukakan kepada Kementerian Kerja Raya akhir tahun ini.
Beliau berkata kertas cadangan itu akan dikemukakan berserta laporan kajian kebolehlaksanaan terowong dasar laut setelah laporan kajian itu siap sepenuhnya hujung tahun ini.
“Kita masih menaruh harapan kepada kerajaan pusat supaya boleh luluskan (cadangan pembinaan jambatan ketiga) demi kepentingan rakyat Pulau Pinang,” katanya ketika menggulung perbahasan Bajet 2017 Pulau Pinang pada persidangan Dewan Undangan Negeri di sini hari ini.
Beliau berkata realisasi pembinaan jambatan itu dapat menjimatkan kos hampir RM2 bilion berbanding cadangan pembinaan Terowong Bawah Dasar Laut yang dibiayai sendiri oleh kerajaan negeri dengan kos RM3.7 bilion serta memerlukan konsesi kutipan tol selama 30 tahun.
Kementerian Kerja Raya sebelum ini menganggap isu pembinaan jambatan Pulau Pinang ketiga dan tiga jalan iringan seperti yang dicadangkan kerajaan negeri sudah ditutup berikutan ketiadaan dokumen sokongan mengenainya yang dikemukakan kepada kementerian itu.