Penutupan sepenuhnya Dataran Merdeka oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) semalam tidak mematahkan semangat peserta protes nyalaan lilin daripada terus berkumpul mendesak pembebasan Pengerusi Bersih 2.0, Maria Chin Abdullah.
Dan antara yang hadir ialah Syarin Shufiyan, cicit kepada Bapa Kemerdekaan, Tunku Abdul Rahman.
“Bagaimana anda boleh mengurung seseorang kerana memperjuangkan nilai yang dipegangnya, kenapa sampai begini layanan terhadapnya?” soal Syarin, 31, ketika ditemui FMT.
Bekas kolumnis itu berkata beliau bersimpati dengan apa yang berlaku ke atas Maria, yang menurutnya sama usia dengan ibunya.
“Jika hal ini boleh terjadi kepada Maria, ia juga boleh terjadi kepada kita,” katanya sambil berharap dapat menyertai vigil pada malam seterusnya.
Maria ditahan Jumaat lalu, sehari sebelum perhimpunan Bersih 5. Polis berkata aktivis berusia 60 tahun itu disiasat di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012, atau Sosma, dan boleh ditahan sehingga 28 hari.
Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) yang melawat beliau di lokasi rahsia berkata Maria tidak diberikan tilam dan terpaksa membersihkan badan dengan air sejuk.
Syarin berkata beliau sebelum ini menghadiri kesemua 4 perhimpunan yang dianjurkan Bersih.
“Mungkin ramai takut untuk menyuarakan pandangan jika berseorangan, dan Bersih memberikan rasa kebersamaan kepada peserta tanpa mengira latar belakang.
“Dan saya tidak ‘rindukan’ gas pemedih mata,” katanya berseloroh.
Seorang lagi peserta, Amira Abdullah mempersoalkan tindakan pihak berkuasa menggunakan Sosma, akta yang digubal untuk menangani keganasan.
“Saya harap beliau akan dibebaskan. Sedih membaca keadaannya, termasuk terpaksa berjauhan dengan anaknya sendiri,” katanya yang menyertai vigil buat kali pertama semalam.
Peniaga Abbas Azmi hadir pada kesemua 3 hari vigil setakat ini dan berkata akan cuba meneruskannya sehingga penghabisan.
“Sosma kesinambungan kepada Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Adalah satu kegilaan untuk menangkap aktivis rakyat pada masa sama membiarkan perasuah terus bebas,” katanya.
Perhimpunan malam tadi turut menyaksikan sekumpulan Orang Asal mengadakan ritual “bersewang” (bacaan doa) untuk kesejahteraan Maria.
Mereka datang daripada beberapa negeri seperti Kelantan dan Pahang dan pelbagai suku, antaranya Temiar dan Semok Beri.
Vigil berlangsung dengan aman dengan kawalan sejumlah polis dan pegawai DBKL.
Semalam, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar memberi amaran agar Bersih 2.0 “tidak mencabar polis” dan mereka tetap perlu menghantar notis bagi mengadakan vigil itu.