Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PKR, Latheefa Koya mendesak supaya perbincangan dengan Pas khasnya dengan presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dihentikan.
“Hadi tak sanggup beri sokongan untuk pilihan raya yang bebas dan adil. Apa lagi nak bincang?” kata Latheefa menerusi Facebooknya.
Latheefa sebelum ini adalah pendokong kuat perbincangan kerjasama pilihan raya antara PKR dan Pas.
Dalam posting itu juga beliau melahirkan rasa kesal atas tindakan ahli parlimen pembangkang yang menyertai perjumpaan dengan DR Zahid Hamidi bagi membincangkan pindaan Akta 355 (RUU 355) yang dibawa oleh Hj Hadi.
“Saya betul-betul tak faham sesetengah ahli-ahli Parlimen dari kalangan pembangkang kita yang cepat-cepat bersetuju dan bergegas untuk berjumpa dengan si Zahid Hamidi ni. Konon nak bincang berkenaan RUU,” tulis Latheefa.
Bagi Latheefa, Zahid adalah menteri yang bertanggungjawab terhadap penahanan Maria Chin Abdullah, Pengerusi Bersih di bawah Sosma.
“Menteri ni yang bertanggungjawab terhadap penahanan Maria Chin. Bertanggungjawab atas PDRM. Bertanggungjawab keadaan penjara DSAI.
“Dia tak buat apa pun,” tulis Latheefa kesal dengan tindakan ahli parlimen pembangkang menyertai majlis jemputan Zahid.
Katanya, hanya semata-mata kerana dia (Zahid) menjemput, adakah perlu mereka menyertainya.
Beliau juga mempersoalkan keanehan tindakan Dr Zahid membantu Pas menerangkan pindaan Akta 355 itu.
“Tak bijak langsung. Kenapa seorang MP UMNO dok sibuk nak bincang RUU yang dibawa oleh PAS? Apa agenda? Kenapa tiba-tiba nak jumpa?”
“Jangan dipermainkan atas konon nama agama. Ini mainan politik yang jahat,” kata Latheefa lagi. Malaysia dateline