Kejatuhan nilai Ringgit ke tahap RM4.40 berbanding AS$1 dalam minggu ini membimbangkan pelabur-pelabur asing terhadap kekuatan ekonomi Malaysia.
Menurut seorang pelabur asing, Jameson Tan, 60 tahun, yang memiliki sebuah kilang di kawasan industri Sungai Buloh, mata wang Malaysia itu tidak sewajarnya melepasi tahap psikilogi RM4.35 berbanding dolar. Kemerosotan nilai Ringgit di bawah paras itu, katanya, membayangkan ekonomi negara menghadapi masalah dan pelabur asing tidak lagi menaruh keyakinan terhadap kestabilan kewangan.
“Nilai Ringgit tidak harus melebihi paras RM4.35. Itulah ‘benchmark’ atau kayu pengukur.
“Apabila sudah melebihi, maka ia sudah berada di luar kawalan dan adalah petanda buruk untuk ekonomi Malaysia kerana pengimport di Malaysia akan berasa sukar untuk membayar pembekal mereka dari negara asing,” katanya kapada Suara pakatan daily.
Selain itu, menurut Jameson, penahanan Pengerusi Bersih 2.0 Maria Chin Abdullah di bawah Sosma hanya menambah kerumitan situasi ekonomi dan politik. Kerajaan, ujarnya, membayangkan mereka akan kembali kepada pendekatan sebelumnya yang menahan aktivis masyarakat di bawah ISA.
“Kes Maria Chin dan ugutan puak baju merah juga merupakan faktor-faktor yang merumitkan keadaan politik dan ekonomi kerana ia mewujudkan iklim pelaburan yang tidak sihat. Rakyat nampaknya tidak puas hati atas pelbagai isu.
“Selain dari itu, saya perhatikan pemerintah negara ini seperti sudah tidak mempedulikan rungutan rakyat mengenai kos sara hidup yang tinggi dan keadaan ekonomi tidak diberi perhatian penuh oleh para pemimpin,” ujar Jameson.
Beliau menambah, sekiranya keadaan itu berterusan, mungkin nilai Ringgit akan jatuh ke paras lebih daripada RM4.60 untuk AS$1.
Sementara itu, Pengarah Biro Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah) Ir Khalid Samad pula berkata, Malaysia bukan lagi model demokrasi Asia sejak kebelakangan ini. Imej negara, katanya, lebih buruk selepas kerajaan cuba mengenakan akta drakonian menghalang Bersih 5.
“Penahanan Maria Chin dan kenyataan yang tidak senonoh oleh Ahli Parlimen BN adalah bukti jelas Malaysia bukanlah sebuah ‘model demokrasi’ yang diuar-uarkan oleh PM Najib
“Harga barang keperluan yang naik melambung serta nilai Ringgit yang semakin menurun juga membuktikan bahawa negara kita sedang menuju ke tahap negara dunia ketiga,” katanya.
Beliau merujuk kepada harga minyak masak botol 5kg yang sudah dinaikkan kepada harga RM19 hingga RM23 (perbezaannya bergantung kepada jenama) dan menggesa kerajaan agar menurunkan harga minyak masak demi mengurangkan bebanan hidup rakyat.