Langkah Presiden Pas, Abdul Hadi Awang hanya ‘membaca’ usul RUU 355 dan perbahasan ditangguhkan ke sidang Parlimen akan datang boleh diterjemah sebagai PRU akan diadakan sebelum sesi Parlimen Mac depan bersidang, kata Penasihat Amanah Kelantan Datuk Husam Musa.
Katanya, Umno berjaya menggantungkan isu ‘perlaksanaan hudud’ di ‘titik keseimbangan’ (equilibrium point) agar isu Hudud tidak dilihat gagal tetapi tidak juga mencapai kejayaan segera seperti mana yang diharapkan penyokong rang undang-undang itu.
“Ia bagus untuk Pas tidak dilihat gagal dalam pendekatannya. Juga sebagai penyedap rasa untuk berterusan dalam senggama politik antara Pas dan Umno khususnya untuk PRU terdekat.
“Umno pula (akan) dilihat jujur dalam memartabatkan hukum Islam. Parti komponen BN pula tidak dilihat dipermainkan.
“Ia resipi yang mustajab, win-win untuk tiga pihak menghadapi PRU secara ‘smart partnership’,” kata Husam dalam satu kenyataan.
Menurut Husam, hal yang berlaku di Dewan Rakyat pada pagi tadi amat aneh kerana sehari sebelumnya TPM Dr Zahid Hamidi mengambil inisiatif menjelaskan usul RUU 355 kepada seluruh ahli parlimen beragama Islam. Namun selepas ahli parlimen diberi kefahaman, Hj Hadi hanya membacakan usul dan enggan ianya dibahaskan.
Husam juga meramalkan PRU mungkin diadakan pada Mac atau April 2017 bagi mengelakkan RUU 355 itu dibahaskan sehingga menganggu ‘keseimbangan’ yang wujud pada hari ini.
“Pas bersama rakan Umno – BN (akan berada) dalam permainan ‘segi tiga’ sampai PRU. Bagi mereka yang masih mengharapkan Pas bersama dengan pakatan pembangkang, mereka akhirnya akan menggigit jari.
“Matlamat Umno (dalam hal ini) adalah untuk mendapat majoriti dua pertiga parlimen dengan pertolongan Pas.
“Apa akan jadi dengan RUU 355 akan ditentukan selepas PRU,” katanya lagi.
Husam juga berkata, sebahagian rakyat khususnya pengundi Islam akan terperangkap di antara sentimen RUU 355 dan isu real seperti himpitan kos hidup, rasuah, penyelewengan, hutang negara dan ancaman krisis kewangan dan implikasi pengaruh China ke atas geo politik, ekonomi, sosial dan keselamatan Malaysia dalam tempoh setahun ini.