Sejurus Ahli Parlimen Marang, Datuk Seri Abdul Hadi Awang memohon huraian kepada usul pindaan Akta 355 ditangguhkan pada sesi akan datang, Ahli Parlimen dari parti Amanah bangkit mempersoalkan peranan kerajaan dalam menangani kemelut berhubung RUU persendirian Presiden Pas yang telah dibacakan bagi kali kedua itu.
Ahli Parlimen Parit Buntar, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa meminta jaminan daripada Speaker Dewan supaya satu jawatankuasa khas dibentuk bagi menangani RUU tersebut.
“Saya ada alasan untuk kepentingan orang ramai. Pada sesi lalu, perkara sama (minta tangguh) berlaku, tidak dibahas dan bila turun ke bawah (masyarakat akar umbi) jadi masalah, jadi perdebatan tidak sihat. Saya tiada masalah. Itu hak yang ada (pada) Marang.
“Pihak kerajaan yang sepatutnya membawa RUU itu, tidak meletakkan satu pendekatan atau kaedah menyelesaikan apa yang diusulkan.
“Sebab itu saya minta kali ini, saya cadangkan kerajaan ambil pendekatan pro-aktif dengan membuat satu jawatankuasa, kalau tidak keadaan (perbalahan pendapat) sama berulang seperti enam bulan lalu,” ujarnya.
Menurut Mujahid yang juga Ahli Jawatankuasa Amanah Nasional, perdebatan dalam kalangan masyarakat berhubung pindaan Akta 355 sampai pada tahap menimbulkan kebencian dan kekeliruan.
“Kerajaan bertanggungjawab tubuhkan jawatankuasa tersebut. Jangan tidak serius hal ini. Saya minta kerajaan jangan biar sampai berlarutan. Nanti di bawah berulang balik enam bulan lagi, huru-hara,” tegasnya lagi.
Gesaan Mujahid berhubung penubuhan jawatankuasa itu kemudiannya turut dipersetujui Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Takiyuddin.
Bagaimanapun, beliau menganggap langkah seterusnya hanya boleh dilakukan jika pembangkang menjadi kerajaan.
“Saya bersetuju (dengan Speaker) apabila sampai bila kerajaan mengambil alih. Takkan Marang boleh bentuk jawatankuasa,” ujarnya sebelum Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah bangkit bertanyakan kepada Speaker tentang penubuhan jawatankuasa itu.
“Bila penubuhan jawatankuasa khas itu? Ahli parlimen bukan Islam juga perlu dilibatkan kerana mereka turut mewakili rakyat yang bukan beragama Islam,” katanya.
Pada masa sama, Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad juga menyifatkan penangguhan pembentangan usul tersebut akan memanjangkan lagi perdebatan umum.
“Bila ditangguh macam-macam tafsiran. Sekarang zaman media sosial. Saya minta kalau boleh kita bahas hari ini. Saya sokong kita bahas hari ini,” tegasnya sambil memberitahu beliau terpaksa mengharungi kumpulan samseng penyokong Pasir Salak pagi tadi untuk menghadiri perbahasan.
Khalid juga bertanyakan soalan tentang pindaan usul terhadap usul asal yang dilakukan Abdul Hadi sekaligus mengundang kelucuan ahli parlimen lain.
“Apa jaminan usul ini tidak dipinda lagi?” soalnya lagi disambut gelak ketawa ahli parlimen lain.