Kesal terhadap tindak-tanduk pemimpin kerajaan negeri yang tidak turun padang mendorong bapa saudara Sultan Kelantan Tengku Mohamed Tengku Yahya Petra mengisytiharkan menyertai Parti Amanah Negara (Amanah).
Dalam majlis di kediamannya ketika kunjungan pimpinan Amanah negeri Kelantan yang diketuai Datuk Husam Musa, beliau melahirkan kekecewaan kerana banyak masalah rakyat tidak diselesaikan.
“Bolehkah bila berlaku banjir seorang pemimpin berkata saya tidak boleh pergi melihat keadaan rakyat kerana rumah sayapun turut kena banjir,” katanya dengan nada kesal.
Beliau turut membangkitkan masalah yang dihadapi masyarakat Orang Asli akibat pembalakan di Kuala Balah.
“Saya tidak dengar mana-mana pemimpin negeri yang turun padang ke tempat Orang Asli buat ‘blockade’ sebagai protes kawasan mereka menghadapi masalah akibat pembalakan.
“Yang saya dengar Datuk Husam (Musa) yang pergi jumpa Orang Asli dan bertanya masalah mereka,” katanya.
Beliau memuji pemimpin-pemimpin Amanah negeri yang selalu turun padang dan berusaha mencari penyelesaikan kepada masalah yang dihadapi rakyat.
“Saya rasa ada persamaan antara kami.
“Sebab itu sekarang saya nak isytiharkan bahawa saya menyertai parti Amanah,” katanya.
Beliau turut membangkitkan usaha menghapuskan rasuah dalam pentadbiran kerajaan.
“Saya yakin parti Amanah mempunyai sikap yang sama dengan saya untuk melawan rasuah.
“Insya Allah saya akan membantu parti Amanah dengan segala upaya yang saya ada sehingga parti ini berjaya,” katanya.
Pada majlis itu, Tengku Mohamed menyerahkan borang keahlian Amanah kepada Datuk Husam Musa disaksikan oleh Setiausaha Amanah negeri Kelantan Saudara Rushdan Mustafa. Malaysia dateline