Keputusan Datuk Seri Abdul Hadi Awang mencadangkan pindaan Akta 355 dalam sidang dewan rakyat baru-baru ini didakwa telah menukar Rang Undang-undang asal yang pernah dicadang beliau sebelum ini.
Peguam Syahredzan Johan berkata, pindaan dilakukan Ahli Parlimen Marang itu bukan pindaan kecil sebaliknya telah menukar keseluruhan apa yang dicadangkan.
“Cadangan pindaan Akta 355 yang dipinda oleh Marang adalah berbeza dengan cadangan Rang Undang-undang yang asal.
“Ini bukan pindaan kecil, malahan ia menukar natijah apa yang dicadangkan.
“Kalau sebelum ini, Marang ingin meminda Akta 355 untuk membenarkan Mahkamah Syariah untuk mengenakan apa-apa hukuman melainkan hukuman mati, kini apa yang Marang cadangkan adalah untuk meningkatkan had hukuman yang boleh dikenakan oleh Mahkamah Syariah,” ujarnya dalam satu kenyataan.
Menurut Syahredzan Akta asal yang dicadangkan:Penjara 3 tahun, Denda RM5,000.00, Sebatan 6 kali yang mana cadangan Hadi sebelum ini tiada had kecuali hukuman mati
Cadangan Hadi yang terkini:Penjara 30 tahun, Denda RM100,000.00, Sebatan 100 kali.
Dengan cadangan pindaan terkini itu, ujarnya lagi terdapat tiga perkara yang menimbulkan persoalan yang perlu diperjelas dan dihuraikan oleh Presiden Pas itu.
“Pertama sekali, semua fatwa, nasihat, pendapat dan sebagainya yang mengatakan bahawa umat Islam wajib menyokong cadangan Marang ini wajar disemak semula kerana cadangan pindaan yang terbaru ini berlainan dengan cadangan pindaan sebelum ini.
“Sebagai contoh, sekiranya pindaan Marang sebelum ini diluluskan, secara teorinya ia membolehkan hukuman potong tangan untuk Sariqah (mencuri) seperti yang diperuntukan dalam Kanun Jenayah Syariah II Kelantan 1993 pindaan 2015 dilaksanakan (walaupun ada halangan dari segi Perlembagaan), tetapi sekiranya pindaan Marang yang terbaru diluluskan sekalipun, hukuman tersebut masih tidak boleh dilaksanakan kerana Mahkamah Syariah tidak boleh mengenakan hukuman sedemikian.
“Kedua, jika kita lihat cadangan pindaan Marang, ada beberapa persoalan yang timbul yang harus dihuraikan oleh Marang:
“Apakah tujuan pindaan terkini ini dikemukakan? Adakah pada ketika ini Mahkamah Syariah tempang sebab tidak boleh mengenakan hukuman melebihi apa yang dibebarkan oleh Akta 355?
“Adakah terdapat peningkatan yang mendadak dalam kesalahan Syariah yang memerlukan hukuman yang lebih berat sebagai pencegahan?Adakah terdapat data atau fakta untuk menyokong?
“Adakah terdapat begitu banyak kes yang mana kesalahannya begitu berat tetapi Mahkamah Syariah tidak dapat mengenakan hukuman yang lebih berat?
“Adakah terdapat negeri-negeri yang mahu meningkatkan had hukuman bagi kesalahan Syariah tetapi tidak dapat berbuat demikian kerana Akta 355?
“Mengapa 30 tahun? Mengapa RM100,000.00? Mengapa 100 kali? Kenapa angka-angka ini dipilih?,” terangnya.
Syahredzan menambah perkara ini tidak dihuraikan oleh Hadi semasa cadangannya dibangkitkan di Parlimen baru-baru ini.
“Marang sepatutnya mengambil kesempatan untuk sekurang-kurangnya memberi huraian am tentang pindaannya, dan kemudian memohon supaya apa-apa debat dilangsungkan pada sidang yang akan datang.
“Ini penting kerana tanpa huraian ini, sukar untuk mana-mana pihak berbincang dan berbahas dengan terbuka mengenai cadangan Marang ini,” katanya.
Ketiga, ujar beliau lagi, kerana kesemua perbincangan, debat dan polemik mengenai RUU Hadi sebelum ini adalah berdasarkan cadangannya yang asal, oleh kerana Hadi ujarnya lagi, telah mengemukakan cadangan pindaan yang pada natijahnya berbeza, maka perbincangan dan perbahasan yang baru wajar berlangsung berdasarkan cadangan pindaan yang terkini.
“Pihak-pihak yang menyokong pindaan Marang ini juga harus membenarkan perbincangan dan perbahasan ini berlangsung dengan terbuka, tanpa apa-apa polemik atau hukum yang dijatuhkan sekiranya ada pihak yang tidak setuju atau membantah.
“Di samping itu, walaupun undang-undang ini berkenaan dengan Mahkamah Syariah, ia tetap mesti diluluskan oleh Parlimen, yang terdiri daripada yang Muslim dan bukan Muslim.
“Jadi ahli Parlimen bukan Muslim berhak untuk menyertai perbincangan dan mengutarakan pandangan tentang cadangan Marang kerana ia adalah pindaan terhadap sesuatu Akta yang digubal oleh Parlimen yang terdiri daripada wakil rakyat Muslim dan bukan Muslim dan mewakili rakyat Malaysia, tidak kira Muslim mahupun bukan Muslim.
“Ini adalah semangat demokrasi yang mesti dijunjung oleh semua,” terang beliau.