Penganjur Festival Seni George Town melahirkan kekesalan dengan penangkapan kartunis prolifik Zunar ditahan di bawah Akta Hasutan petang semalam.
Penganjur Festival melahirkan kebimbangan dengan perkara berlaku itu dan merayu kepada pihak berkuasa untuk segera membebaskan Zunar supaya beliau boleh meneruskan penyertaannya daripada sebarang gangguan yang turut melibatkan 60 pelukis dari 20 negara.
Pengarah Festival Bernice Chauly berkata, pihaknya pengutuk tindakan dilakukan polis itu sebagai satu penindasan terhadap kebebasan bersuara yang diadakan di premis tersebut.
Manakala Sasterawan Negara Muhammad Haji Salleh berkata Zunar adalah seorang artis di hati nurani masyarakat.
“Beliau komited melukis bagi pihak kami untuk kebebasan bersuara untuk rakyat Malaysia. Hanya dengan kebebasan bersuara menjadikan negara kita benar-benar demokratik.
“Penindasan dilakukan kini mencapai tahap yang bahaya di Malaysia,” ujarnya.
“Hakikatnya penangkapan Zunar di festival berkenaan disaksikan dengan puluhan artis dan penulis antarabangsa mengambarkan kerajaan tidak mengambil berat soal kebebasan bersuara di negara ini,”, kata Michael Vatikiotis, pelukis di festival itu pula.
Ahli Parlimen Bukit Bendera Zairil Khir Johari pula berkata, “Festival Seni George Town adalah salah satu acara sastera antarabangsa utama negara kita, dan ia adalah amat mendukacitakan setelah ia dicemari dengan cara ini,” ujarnya.
Pada Jumaat sekumpulan pemuda Umno Pulau Pinang telah bertindak mengganngu pameran yang turut disertai Zunar atau nama sebenarnya Zulkeflee Anwar Ulhaq.
Insiden itu membawa kepada penangkapan Zunar petang semalam di bawah Akta Hasutan.
Sementara itu, menurut Malaysiakini, polis berjaya memperolehi kebenaran menahan reman untuk sehari ke atas Zunar yang kini disiasat mengikut Akta Hasutan kerana menghina Datuk Seri Najib Razak.
Penolong pendaftar kanan mahkamah Mohd Harith Mohd Mazlan memberikan kebenaran menahan reman itu selepas Zulkiflee – yang lebih dikenali dengan nama Zunar – dibawa ke mahkamah majistret Pulau Pinang sebentar tadi.
Peguam Zunar, Ramkarpal Singh, berkata kemungkinan besar pelukis kartun politik itu akan dibebaskan petang ini selepas kenyataannya diambil.
Pemenang Anugerah Kartunis Keamanan itu ditahan mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan iaitu tuduhan sengaja mengaibkan dan mencetuskan gangguan keamanan.