Walau panas atau hujan
Kau tetap bersama kami
Di jalanan, bersuara
Rakyat Malaysia!
Bait-bait lagu yang sinonim dengan himpunan jalanan itu mengiringi kemunculan pengerusi BERSIH, Maria Chin Abdullah di sudut Jalan Raja berhampiran Dataran Merdeka pada kira-kira jam 9.10 malam ini.
Hujan gerimis telah bertukar menjadi lebih lebat namun bagai menghayati lirik lagu tersebut, kira-kira 600 orang penyokong pengerusi BERSIH itu terus berada di tempat masing-masing.
Untuk mengurangkan kesan basah, mereka membuka payung atau menyarungkan baju hujan ke badan masing-masing.
Mereka mula berkumpul di situ kira-kira jam 8 malam selepas mendapat tahu Maria Chin dibebaskan polis daripada tahanan Sosma petang tadi.
Pengacara majlis yang juga Anggota Jawatankuasa Pemandu BERSIH, Farhana Abdul Halim berkata, semakin lebat hujan, akan bertambah kuat semangat mereka untuk terus berada di situ.
“Kita sama-sama meraikan suasana romantis dalam hujan malam ini,” katanya.
Sebelum itu Farhana memberitahu perhimpunan malam ini adalah majlis meraikan penyokong Maria Chin yang sabar hadir ke kawasan berkenaan setiap malam sejak aktivis itu ditahan polis pada 18 November lalu.