Seorang pemimpin Parti Sosialis Malaysia (PSM) mendakwa syarikat besar memberi tekanan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk membayar pekerja lebih rendah daripada gaji minimum yang ditetapkan kerajaan.
Ahli Parlimen Sungai Siput, Dr Michael Jeyakumar berkata biasanya ada beberapa PKS dalam rantaian pasaran yang membekalkan produk serta perkhidmatan sama kepada syarikat lebih besar dan ini memberi mereka kuasa untuk mengawal pasaran.
Katanya, disebabkan syarikat lebih besar mengawal rantaian pasaran, mereka menuntut harga lebih rendah daripada PKS.
“Saya kawal pasaran, jadi saya boleh mendesak dan kurangkan kos dengan melagakan satu sama lain. Jadi, anda sepatutnya menjadikan produk lebih murah dan saya tidak kisah bagaimana anda lakukannya.
“Mereka yang menyebabkan ia (syarikat membayar di bawah gaji minimum) kerana mereka yang menuntut kos lebih rendah untuk terus bertahan, kapitalis kecil-kecilan terpaksa membayar di bawah gaji minimum. Itulah caranya di dunia ini.”
Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan Malaysia (MEF), Datuk Shamsuddin Bardan sependapat dengan Jeyakumar.
Beliau berkata, syarikat lebih besar bukan sahaja menentukan harga dalam rantaian bekalan, tetapi turut memastikan pembekal mematuhi syarat “ketat” termasuk perlindungan lebih baik untuk pekerja.
“Jadi, keuntungan diperolehi syarikat lebih kecil semakin kurang, kadangkala sehingga tahap mereka mungkin tidak dapat meneruskan perniagaan,” katanya.
Bagaimanapun, katanya, ada had yang syarikat lebih kecil perlu patuhi, termasuk syarat gaji minimum.
“Akhirnya, jika ia benar-benar di luar kemampuan mereka untuk meneruskan perniagaan, mereka terpaksa gulung tikar dan ia agak kerap sekarang.”
Beliau berkata, di Malaysia, pembekal lebih kecil turut bersaing dengan negara lain seperti Kemboja, Laos, Vietnam dan sekarang Myanmar.
“Dengan cara itu, kita tidak lagi bersaing dengan kos lebih rendah dan terpaksa memikirkan cara melakukan rantaian bekalan kita untuk menjadi lebih berdaya saing.”