Ketua Pembangkang Datuk Dr. Wan Azizah Wan Ismail tidak menolak kemungkinan lebih ramai ahli politik dari Pakatan Harapan akan dihadapkan eret ke mahkamah sebelum pilihan raya umum akan datang.
Merujuk kepada beberapa siri penangkapan dan siasatan ke atas ahli politik dan aktivis berhubung perhimpunan Bersih 5, beliau berkata taktik ini digunakan oleh parti pemerintah untuk terus kekal berkuasa.
Ini termasuk penyalahgunaan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) ke atas Pengerusi Bersih Maria Chin Abdullah serta penggunaan berleluasa Seksyen 124C dan 147 Kanun Keseksaan untuk menangkap atau menyiasat mereka.
Tidak kurang 23 ahli politik dan aktivis ditahan sekitar perhimpunan Bersih 5 pada 19 November lalu.
“Tidak mustahil semakin hampir kita ke Pilihanraya Umum ke-14, semakin ramai ahli-ahli politik Pakatan Harapan bakal dihadapkan ke mahkamah,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Mengulas mengenai pembebasan Maria semalam, katanya, ini adalah hasil gesaan dan sokongan padu rakyat yang berhimpun secara aman setiap malam di Dataran Merdeka dan banyak lagi tempat di seluruh negara untuk menzahirkan rasa tidak puas hati mereka.
“Kerajaan Umno-BN yang dahulunya berjanji untuk hanya menggunakan Sosma ke atas pengganas kini jelas telah memungkiri janji mereka.
“Sehingga ke hari ini, tiada seorang menteri mahupun ahli parlimen Umno-BN yang berani mengeluarkan kenyataan bahawa penahanan Maria di bawah Sosma adalah wajar dan adil.
“Yang ada cuma alasan ‘jangan tanya saya, sila tanya si polan’,” katanya.
Oleh itu, menurut Wan Azizah, jika Mac depan kerajaan mengambil keputusan untuk memanjangkan hayat Sosma, semua rakyat perlu bersiap sedia.
“Kita mesti bersiap sedia untuk berdepan dengan mereka di Parlimen.
“Apa yang berlaku kepada Maria yang bukannya seorang pengganas sepatutnya tidak berlaku kepada sesiapa pun.
“Keselamatan negara perlu dijamin, tetapi keselamatan rakyat juga perlu dipertahan,” katanya.