Timbalan Presiden BERSATU, Datuk Seri Mukhriz mengingatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak agar tidak membandingkan pengaruh beliau dan bapanya, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam soal mendapatkan sokongan daripada ahli Umno.
Beliau berkata, perbandingan itu tidak patut dibuat memandangkan bekas perdana menteri itu tidak lagi berada dalam Umno.
“Tiada sebab untuk membangkitkan soal lebih atau kurang pengaruh Mahathir dalam kalangan ahli Umno kerana Mahathir sudah lama meninggalkan parti itu. Sebab itu Mahathir tubuhkan parti baharu,” jelasnya, memetik laporan Sinar Harian.
Semalam, dalam program Soal Jawab oleh TV3, Najib menyifatkan Mahathir sebagai seorang pemimpin yang mempunyai ‘super ego’ yang besar.
“Kalau dia bertarung dia mesti nak menang, cuba nak menang. Sekarang dia tak berjaya dia akan lebih agresif dengan kata-kata dan sebagainya,” kata Najib.
Pada masa yang sama, Najib yang juga presiden Umno mendakwa beliau mempunyai kelebihan berbanding Mahathir yang sehingga kini gagal menjatuhkannya.
Menurut Najib, ini disebabkan beliau bergaul dengan pemimpin-pemimpin Umno sejak pertama kali menyertai parti itu pada usia 23 tahun.
Sedangkan, kata Najib, Mahathir langsung tidak rapat dengan ketua Umno bahagian.
Mengulas lanjut, Mukhriz berkata, kenyataan Najib itu merupakan pandangan peribadi beliau saja.
“Apa yang nampak, ada juga kalangan ahli Umno sekarang yang tak setuju dengan Najib. Cuma mereka tidak sanggup menyatakan secara terbuka,” katanya.
Beliau berkata, kenyataan Najib itu juga seolah-olah mencerminkan dirinya dalam keadaan terdesak.
“Biasanya dalam soal berbuat baik ini, orang lain yang nampak, bukan dinyatakan oleh tuan punya badan sendiri. Ini umpama angkat bakul sendiri.
“Lagipun beliau membuat kenyataan itu dalam satu temu ramah yang dirancang. Sudah tentu kehebatan diri yang diutamakan dulu, lebih-lebih lagi menjelang PRU ini,” katanya.