Bekas Menteri Besar Perak Datuk Seri Ir Nizar Jamaluddin menyelar kerajaan BN kerana terus merahsiakan formula pengiraan harga petrol dan diesel pada setiap bulan.
“Amat mengecewakan apabila formula untuk mengira harga minyak masih lagi tidak diberitahu kepada rakyat oleh kerajaan. Sehingga kini harganya ditentukan secara sewenang-wenangnya,” kata Adun Changkat Jering itu kepada Suarapakatandaily.
Menurut Nizar, kerajaan telah mengeluarkan kenyataan pada bulan Disember 2014 untuk mengumumkan formula pengiraan harga minyak tetapi sehingga hari ini rakyat masih tertanya-tanya mengenai formula berkenaan.
Menurut beliau lagi, formula tersebut penting kepada rakyat untuk memudahkan mereka merancang belanjawan keluarga pada setiap bulan dengan menjangkakan naik turun harga bahan api tersebut lebih awal.
Nizar juga mencadangkan kepada kerajaan supaya menghadkan kenaikan harga minyak RON95 dan tidak membenarkannya melebihi RM2 seliter walaupun harga minyak mentah meningkat naik tinggi di pasaran dunia pada 2017 kelak.
Sementara itu, seorang pemandu teksi Albert Wong dari Kepong, Kuala Lumpur berkata, beliau yang menggunakan petrol RON95 runsing kerana harga yang tidak diketahui sebelum 1 haribulan pada setiap bulan.
“Kadang kala harga minyak sama sahaja untuk bulan yang berikutnya tetapi kadang kala ia akan dinaikkan sebanyak 15 sen seperti yang telah berlaku pada 1 November lalu.
“Untuk bulan Disember, harganya mungkin akan kekal sama dan akan turun 5 sen untuk 3 bulan yang berikutnya. Ini menyukarkan kami mengurus perbelanjaan,” katanya