Bekas Naib Presiden PAS Hj Mohammad Sabu menyifatkan kemenangan Barisan Nasional di dalam PRK Tenang bukanlah suatu perkara yang boleh dibanggakan oleh gabungan pemerintah. Tambahan pula banyak taktik kotor yang dilakukan sepanjang berkempen.
Menurutnya, BN sejak sekian lama memang telah bertapak kukuh di kawasan felda dan masyarakatnya tidak terbuka kepada perkembangan semasa yang banyak mendedahkan penyelewengan rejim itu.
“Pilihanraya di Tenang adalah sama seperti mana-mana pilihanraya kecil, terutama di kawasan felda. Kepungan dan kawalan yang dibuat BN dan kerajaan begitu ketara sehingga kita tidak dapat berkempen dengan baik di felda-felda.
“Peneroka pula dihadiahkan dengan berbagai-bagai pemberian oleh parti politik. Manakala media massa semakin hari semakin teruk memainkan peranan. Peneroka biasanya tertumpu kepada penerangan media rasmi kerajaan. Jadi kita tidak dapat mengubah minda mereka dalam masa seminggu (berkempen),”jelas Mohammad.
Beliau mengakui felda akan menjadi benteng terakhir BN mempertahankan kuasa dalam pilihan raya akan datang. Namun, katanya PAS tidak akan kecewa dengan situasi itu dan akan terus membuat perubahan di Johor.
“Felda masih jadi deposit kepada BN sama ada sekarang mahu pun pilihan raya akan datang. Tetapi di luar felda undi kita (PR) bertahan dan meningkat sedikit.
“Kita tidak kecewa. Calon kita cukup baik dan gigih. Dia juga tidak akan merasa kecewa dan akan terus bekerja. Sebenarnya keputusan ini tidaklah begitu memberangsangkan sangat bagi BN di kubu kuat seperti Johor. Kita (PR) masih tetap ada harapan untuk buat perubahan di negeri itu,”ujarnya.