Kesemua 47 Orang Asli yang ditahan kerana menghalang pembalakan di rizab hutan di Gua Musang pada Selasa lepas dibebaskan hari ini, disambut linangan air mata keluarga yang kebimbangan.
Ibu Pejabat Polis Daerah Gua Musang membebaskan Orang Asli terbabit secara berperingkat bermula 2.50 petang tadi. Mereka sebak sebaik sahaja bertemu keluarga masing-masing yang menanti di luar balai.
“Pihak berkuasa tidak menggunakan kekerasan terhadap kami. Kami diberi layanan yang baik. Makan minum semua mereka bagi,” kata Alang Along ketika ditemui FMT.
Alang antara 47 Orang Asli yang ditahan dalam usaha Kerajaan Kelantan laluan kepada pembalakan di kawasan yang dikatakan tanah adat mereka.
Seorang lagi orang kampung, Ali Andak berkata dirinya berasa sedih sepanjang dalam tahanan pihak berkuasa.
Ahli keluarga dan orang kampung menyerbu beliau dan bekas tahanan lain sebaik mereka keluar dari perkarangan balai.
“Semasa dalam tahanan saya rasa sedih…teringat pada keluarga…tetapi saya menerimanya demi menuntut hak kami,” tegasnya.
Menurut peguam, polis hanya menangkap mereka selepas mendapat arahan majistret. “Kita belum tahu sama ada mereka akan didakwa atau tidak,” kata Siti Kasim.
Selasa lalu, Jabatan Perhutanan Kelantan meroboh 2 sekatan yang menghalang laluan balak, sebelum memberkas 47 Orang Asli.
The Star memetik Timbalan Pengarah Operasi Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan Mohd Radhie Chu Abdullah berkata mereka ditahan kerana “menceroboh di rizab hutan kekal”.