Taman Melewar, Gombak: Sasterawan Negara Datuk A Samad Said yang terkenal dengan sikap kelembutannya kini menyimpan satu perasaan benci kepada Kerajaan berikutan tindakan polis menyuraikan perhimpunan BERSIH 2.0 genap seminggu lalu melibatkan kecederaan dan kehilangan nyawa rakyat.
Kata Pak Samad, “Seluruh rakyat Malaysia yang telah menyertai himpunan itu terus mengkritik kerajaan UMNO- BN apabila melihat keganasan yang dilakukan oleh pihak polis. Meskipun UMNO-BN kini membuat berbagai helah menyatakan polis yang menjalankan tugas ketika itu tidak melakukan tindakan yang kasar kepada rakyat tetapi sebaliknya rakyat yang bertindak kasar dalam himpunan itu.
“Kata-kata itu menjadi luka berdarah buat rakyat Malaysia dan saya percaya UMNO-BN akan terkubur dalam PRU ke 13 nanti,” katanya.
Beliau yang memberi ucapan dalam majlis pelancaran Yellow Saturday di Markaz Tarbiyah PAS Taman Melewar malam kelmarin menceritakan pengalamannya dalam himpunan lalu kepada semua yang hadir dalam ceramah itu.
“sebelum (gas) ditembak, ada himpitan dari belakang, (oleh) kelompok polis juga. Jadi kami agak tersepit, seperti di (Hospital) Tung Shin, (kami) tiada jalan alternatif lain jadi go through saja.
“Tidak pernah saya rasakan begitu benci pada kerajaan. Itulah waktunya saya lebih benci,” kata Samad yang mengimbau kembali pengalamannya di KL Sentral, tempat beliau mula-mula bertembung dengan polis.
Beliau menghabiskan hari daripada pagi sehinggalah disekat polis kali terakhir kira-kira 300 meter daripada Istana Negara di sebelah petang untuk menyampaian Memorandum yang merupakan amanah rakyat untuk disembahkan kepada Yang di Pertuan Agong, amat mengecewakan tiada pertimbangan yang sebaiknya oleh polis.
” Mata saya telah mengalami kecederaan akibat tembakan gas water canon, mereka (Polis dan FRU) nampak saya ketika i
tu, kalau boleh mereka hendak makan saya,” ujarnya.Berbeza dengan demonstrasi pertamanya pada Mac 2007 bagi membantah dasar pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI), kali ini beliau rasakan ujian terlalu kuat dengan menempuh pelbagai rintangan.
“Sepatu Nike saya juga hilang apabila dihimpit dengan ramai rakyat di situ lebih-lebih lagi apabila polis datang mengejar rakyat yang berhimpun
“Saya bukan sahaja hilang capal, tetapi peralatan yang saya bawa seperti garam, tuala kecil dan air mineral sebagai alat pelindung saya tepaksa diberikan orang lain apabila salah seorang peserta himpunan di situ kelihatan nafasnya menjadi sesak meminta-minta agar diberikan bantuan.
“Saya berikan semua peralatan saya kepada beliau untuk menyelamatkan dirinya, jika tidak mungkin orang itu juga mengalami nasib yang serupa seperti arwah Baharudin.
“Saya seharusnya diapit dua orang peguam, (tetapi) mereka juga hilang apabila kami semua dikejar oleh polis dan FRU untuk mengelak diri daripada ditembak dengan gas,” katanya yang mengakui sudah menjangkakan pendekatan keras itu akan diambil pihak berkuasa.
Pada Sabtu itu katnya pakaian yang dipakai sudah basah lencun akibat hujan dan dengan tembakan meriam air, beliau terus berjalan kira-kira 10 kilometer menuju ke Istana Negara untuk menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong.
“Saya berkaki ayam separuh jalan, berbatu-batu. Ada beberapa anak muda yang nampak saya ketika itu hendak beri saya sepatu tetapi saya menolaknya kerana saya fikir sepatu itu cantik sangat dan biarlah saya bersusah payah untuk masa depan anak bangsa saya sendiri.
“Kemudian saya didatangi oleh seorang lagi
anak muda dengan memberi saya sepatu yang besar, saya menerimanya kerana saya fikir perjalanan saya jauh dan banyak halangan yang perlu saya tempuhi untuk menyerahkan Memorandum kepada Agong. Ini merupakan satu pengalaman pahit dan tidak mungkin saya lupakan,” keluh Samad.Pengarang novel Salina itu juga menyuarakan rasa terharunya apabila melihat semangat perpaduan dan hormat menghormati semua bangsa pada hari itu demi mencapai matlamat yang satu untuk menuntut pilihan raya yang bebas dan adil.
“Tidak pernah saya melihat satu kelompok orang muda yang berbilang bangsa itu bersatu oleh satu cita-cita. Itu sangat membanggakan.
“Kalian seharusnya bertekad bersatu hati untuk mengubah pentadbiran demokrasi negara ini dalam pilihanraya umum ke -13 nanti, demi masa depan anak cucu kita. Orang tua mungkin tidak mampu lagi untuk bekerja kuat namun kita akan sentiasa memberi sokongan padu bagi menukar pentadbiran Kerajaan baru” kata A. Samad Said dengan sambutan takbir oleh semua yang hadir dalam ceramah itu.