Ucapan Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin membayangkan Perhimpunan Agung Umno 2016 adalah yang terakhir sebelum pilihan raya umum ke 14, dibaca dengan pelbagai ramalan oleh ahli politik pembangkang.
Timbalan Pengerusi DAP Pahang M. Manogaran berkata, PRU mungkin diadakan awal memandangkan Umno kini sedang bergolak manakala tarikhnya mungkin hanya beberapa bulan daripada sekarang.
Oleh itu, katanya, Pakatan Harapan haruslah bersedia dengan strategi yang sesuai serta memuktamadkan pembahagian kerusi dalam tempoh sesegera mungkin.
“Pakatan Harapan (PH) harus bersedia untuk Pilihanraya Umum Ke-14 (PRU14) sekarang juga sebab BN pun sudah membuat paluan gendang beberapa hari yang lalu untuk pilihan raya umum.
“PH perlu mengenalpasti calon dan gerak kerja turun padang patut dimulakan selewat-lewatnya pada 1 Januari tahun depan. Selain daripada itu, yang penting ialah cogankata atau matlamat perjuangan PH.
“Saya cadangkan PH gunakan slogan ‘Mansuhkan GST’ kerana isu GST melibatkan semua golongan rakyat,” katanya kepada Suara pakatan daily.
Manogaran yang juga bekas Ahli Parlimen Teluk Intan risau melihat prestasi PH yang nampaknya bergerak ‘perlahan’ dan berkemungkinan akan kalah teruk sekiranya tidak membuat persediaan mulai dari sekarang.
“Sudah pun ada banyak desas-desus PRU14 akan diadakan pada bulan Mac atau April 2017. Dan ada bukti di negara ini bahawa desas-desus biasanya akan menjadi kenyataan contohnya kenaikan harga minyak masak pada 1 November lalu di mana desas-desus telah wujud sejak minggu ketiga bulan Oktober lagi, Oleh itu, Pakatan tidak boleh leka kali ini,” tegas Manogaran.
Beliau juga menerangkan bahawa PH memerlukan ikon untuk jawatan Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri.
Katanya, calon-calon Melayu dari PH harus dipromosikan untuk dua jawatan tersebut kerana pada pandangan rakyat, PH seperti tiada pemimpin yang menonjol atau pun berkarisma selepas pemenjaraan Anwar Ibrahim.
“PH wajar membetulkan persepsi rakyat dalam hal ini dengan secepat mungkin supaya rakyat boleh memberi tumpuan dan sokongan kepada ikon Pakatan yang akan dapat menarik sokongan rakyat,” akhirinya.
Selain Manogaran, Musadiq Khalid, anggota Pemuda Amanah Selangor berkata parti itu sedang bersiap-sedia menghadapi PRU yang dijangka akan diadakan pada bulan Mac depan.
“Amanah kini sedang mengadakan gerak kerja dan rundingan bersama parti pembangkang lain terutamanya di Johor.
“Buat masa ini, kami sedang memerhatikan tindak-tanduk PAS. Saya berpendapat adalah lebih senang kalau mereka ini sertai BN terus sebab pendirian mereka adalah agak mencurigakan: adakah mereka akan bantu Pakatan ataupun bantu BN dalam PRU14 nanti,” kata Musadiq.