Jaringan Kampung Orang Asli Semenanjung Malaysia (JKOASM) membidas tindakan kerajaan Barisan Nasional (BN) dan PAS yang disifatkan terlalu ghairah membela nasib etnik Rohingya didakwa dizalimi tentera Myanmar, tetapi menindas masyarakat Orang Asli di Gua Musang.
Pengerusi JKOASM, Tijah Yok Chopil berkata, Orang Asli pada dasarnya menyokong usaha kerajaan menganjurkan perhimpunan solidariti menyokong etnik Rohingya pada Ahad ini, tetapi mempersoalkan kerajaan kenapa mengabaikan masalah dihadapi rakyatnya sendiri.
“Saya dengar kerajaan pusat, kerajaan PAS, menteri besar, ahli Parlimen mereka akan turun ke Stadium Malawati Ahad ini untuk berhimpun menyatakan sokongan kepada Rohingya tentang apa yang dilakukan kerajaan Myanmar.
“Saya sokong apa mereka buat, tetapi kami kecewa kenapa mereka hanya ingat orang Rohingya sahaja. Kenapa mereka lupa Orang Asli di Gua Musang ini, terutamanya PAS.
“Mereka kata mereka kerajaan Islam sepatutnya mereka ambil tahu apa yang sedang berlaku,” katanya ketika ditemui FMT.
Minggu lalu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata, sebuah perhimpunan besar-besaran dirancang pada 4 Disember ini bagi menzahirkan keprihatinan rakyat Malaysia terhadap isu Rohingya.
Selain Datuk Seri Najib Razak dan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, parti lain seperti PKR dan Amanah turut dipelawa menyertai perhimpunan itu.
Tijah turut menyifatkan dakwaan Orang Asli membantah kegiatan pembalakan di Gua Musang kerana dihasut pihak tertentu sebagai satu dosa kerana masyarakat itu mempunyai akal untuk berfikir.
“Saya melihat mereka memberi tohmahan atas tindakan Orang Asli yang menderita dihasut pihak tertentu merupakan satu penghinaan dan seolah-olah mereka menganggap Orang Asli ini bodoh.
“Sebagai orang beragama, saya menganggap tuduhan ini satu dosa. Orang Asli ini ciptaan Tuhan, mereka ada akal untuk berfikir,” katanya yang menggesa kerajaan negeri dan pusat mengadakan perbincangan bersama bagi menyelesaikan masalah dihadapi Orang Asli itu.