Persatuan Kebangsaan Pembeli Rumah Malaysia (HBA) menggesa kerajaan memastikan pemaju hartanah daripada Republik Rakyat China mematuhi undang-undang perumahan negara yang ketat.
“Kami tidak mahu berlakunya projek terbengkalai dan pembeli rumah terlantar,” kata Setiausaha Agung Chang Kim Loong dalam wawancara FMT.
“Pemaju dari China mempunyai ekonomi skala yang lebih baik dan berpotensi membina rumah dengan lebih murah dan cepat berbanding pemaju tempatan,” katanya. “Ini bermakna harga yang lebih murah untuk pembeli rumah tetapi mengancam pemaju tempatan yang tidak dapat bersaing.”
Kim Loong berkata pemaju China melakukan pembinaan pada skala “yang tidak pernah disaksikan di Malaysia” dan menggesa pembeli supaya menilai kebolehjayaan projek sebelum membeli.
Katanya kerajaan perlu pastikan syarikat asing mematuhi Akta Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) supaya hak pembeli dilindungi.
Undang-undang itu bertujuan memastikan lesen pemajuan diberikan kepada pemaju yang mempunyai kedudukan kewangan yang kukuh.
Kim Loong turut menggesa kerajaan supaya mengamalkan skim bina-dan-jual (BTS) 10:90 iaitu pembeli membayar 10% ketika menandatangani perjanjian pembelian atau penjualan manakala 90% lagi dibayar apabila unit diserahkan bersama dengan Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC), dokumen pemilikan serta bekalan elektrik dan air.
Tambahnya kerajaan perlu pastikan medan persaingan sama rata untuk pemaju tempatan dan memberikan insentif kepada mereka serupa dengan yang diberikan kepada pemaju China.
Presiden Persatuan Pemaju Hartanah Dan Perumahan Malaysia Fateh Iskandar Mohd Mansor baru-baru ini mengadu syarikat China diberi insentif yang tidak dinikmati pemaju tempatan, seperti rebat cukai.
Bulan lepas Bloomberg melaporkan pemaju tempatan seperti UEM Sunrise Bhd, Sunway Bhd dan SP Setia Bhd terkesan dengan kemasukan pemaju dari China ke Johor Bahru.