Ucapan Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak di Perhimpunan Agung Umno (PAU) yang berbaur perkauman dan mengecam DAP secara khusus memberi isyarat jelas bahawa Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) semakin hampir.
Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Mohamad Sabu berkata, ucapan Najib jelas ke arah memastikan Umno BN menang PRU14, bukan untuk menyemai semangat perpaduan antara kaum.
“Presiden Umno berada di landasan yang betul kerana ucapan itu untuk menang pilihan raya bukan ucapan untuk membaik pulih ekonomi, melahirkan perasaan muhibbah antara rakyat, tapi ucapan untuk Umno-BN menang pilihan raya,” katanya dalam ceramah umum di Taman Putra Perdana, Sepang malam tadi.
Mohamad berkata, Najib kini semakin berani membuat ucapan berbaur perkauman secara terbuka dengan mengatakan bahawa jika Umno kalah Cina yang akan memerintah negara.
“Apa yang diucapkan oleh Najib itulah yang dibentangkan selalu dalam kursus-kursus kepada pegawai kerajaan melaui Biro Tatanegara.
“Cuma selalunya ucapan itu dibuat secara sulit dan tertutup kepada pegawai kerajaan tapi kali ini Najib buat secara terbuka iaitu beliau meletakkan bahawa beliau dengan Umno tak dapat dipisahkan. Kalah Najib, kalahlah Umno. Najib kalah, Umno kalah, Cina akan perintah negara. Kefahaman perkauman yang begitu ketara,” katanya.
Najib dalam ucapan dasarnya di PAU minggu lalu antaranya memberi amaran bahawa semua institusi yang ditubuhkan untuk membantu Bumiputera dan mewakili Islam akan lenyap jika DAP berkuasa.
Beliau mendakwa DAP yang “memperjuangkan liberalisme melampau dan fahaman sekular” akan menyebabkan institusi-institusi Bumiputera antaranya Mara, Felda, Risda, Felcra dan TERAJU akan pupus.
Mohamad berkata, isu perkauman yang ditimbulkan Najib ialah orkestra menjelang pilihan raya yang perlu ditangani dengan bersungguh-sungguh oleh Pakatan Harapan dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).
“Apa yang dicakap oleh Najib itu gendang permulaan. Sebab itu apa yang dibuat oleh Jamal tidak diambil apa-apa tindakan.
“Ia orkestra menjelang pilihan raya. Kalau terus main isu perkauman tak lama lagi (mungkin) ada babi yang dilempar ke masjid, ada gereja yang dibakar.
“Amanah, Bersatu dan Pakatan Harapan kena bersedia melawan isu perkauman ini secara bersunguh-sungguh sebab ini program daripada Najib dan kerajaan menimbulkan hal perkauman,” tegasnya. Malaysia dateline