Kerajaan didesak agar menubuhkan sebuah Suruhanjaya Khas untuk menyelesaikan isu tanah adat Orang Asli ekoran apa yang berlaku di Kelantan dan keputusan mahkamah semalam.
Ini kerana hak Orang Asli sudah disahkan ekoran keputusan Mahkamah Tinggi Kota Bharu semalam dan kerajaan tidak ada alsan untuk menolaknya.
Ketua Wira Perkasa, Azrul Akmal Saharudin mendakwa, kerajaan pada tahun 2013 boleh membelanjakan sehingga RM 1.2 juta untuk menaja sebuah inkuiri nasional berkenaan isu tanah adat ini.
“Apa salahnya jika kerajaan meneruskan usaha murni itu membantu orang-orang Asli ini dengan menubuhkan sebuah Suruhanjaya Khas dengan kadar segera agar nasib orang-orang asli ini terbela dan tanah-tanah mereka tidak lagi dicerobohi.
“Suruhanjaya Khas ini penting untuk mengolah suatu formula yang berkesan dan memastikan implementasinya berjalan lancar agar masalah ini tidak akan berulang kembali,” ujarnya dalam satu kenyataan.
Azrul Akmal juga berpandangan, sudah tiba masanya wakil-wakil Orang Asli tampil ke hadapan dan melibatkan diri secara serius dalam politik untuk perjuangan tanah adat dan hak Orang Asli.
“Ini adalah suatu cara yang terbaik untuk memastikan suara Orang Asli didengari dengan serius oleh pemerintah dan hak Orang Asli tidak lagi dipandang sambil lewa.
“Peranan wakil orang asli di Parlimen mestilah diperkasakan demi untuk menjaga kepentingan dan hal ehwal orang-orang asli di Malaysia. Kerana sehingga kini, isu tanah adat ini masih lagi menjadi persoalan dan ianya terus dipolemikkan oleh pihak-pihak berkepentingan,” ujarnya.
Beliau juga menyokong penuh tindakan warga Orang Asli yang hadir di Suruhanjaya Integriti pada Selasa bagi menuntut siasatan penuh dijalankan ke atas pihak-pihak yang terlibat dalam insiden penangkapan aktivis dan penduduk yang cuba menghalang lori balak daripada menceroboh tanah hutan simpan di Gua Musang.
“Kita mahu pihak-pihak yang menyalahgunakan kuasanya sepertimana didakwa oleh wakil-wakil orang asli di Suruhanjaya Integriti semalam disiasat dengan segera oleh pihak-pihak yang bertanggungjawab.
“Kita juga komited akan turut sama bersolidariti dengan warga orang asli demi mempertahankan tanah adat mereka daripada diceroboh oleh mana-mana pihak.
“Wira Perkasa ingin menegaskan kepada pihak berkuasa dan pemerintah bahawa hak tanah adat orang asli mestilah dihormati serta tidak pandang sambil lewa oleh pemerintah. Kita tidak mahu tanah-tanah adat ini diganggu gugat dengan menukar statusnya kepada hutan simpan dan sebagainya, demi untuk membolehkan pembalakan dijalankan di hutan tersebut. Ianya ubah tidak ubah samalah seperti tindakan “merompak” hak orang asli.
“Kami ingin mencadangkan kerajaan mewarta dengan jelas kawasan-kawasan atau tanah-tanah yang dihuni oleh komuniti Orang Asli tertentu sebagai kawasan tanah adat serta geran secara komuniti atau geran komunal mestilah diberikan kepada komuniti Orang Asli dikawasan tersebut agar hak mereka tidak lagi diceroboh dan diganggu gugat.
“Pewartaan secara jelas ini adalah sangat penting agar pemilikan tanah oleh komuniti orang asli ini tidak lagi boleh dipersoalkan atau dimanipulasi oleh mana-mana pihak,” ujarnya.