Tindakan pihak yang menentang Tun Dr Mahathir Mohamad dahulu bukan kerana sosoknya Mahathir itu Mahathir tetapi adalah kerana apa yang sosok itu lakukan.
Oleh itu, tidak salah untuk berbaik dengan Mahathir sekarang kerana apa yang dilakukannya, bukan batang tubuh itu sendiri, kata peguam Shahrezan Johan.
Sehubungan itu, katanya, tindakan sesetengah pihak bersama dengan musuh politiknya selama ini tidak salah kerana perseteruan mereka selama ini adalah kerana apa yang dilakukan bukan kerana personaliti itu.
Demikian kata Shahrezan dalam satu postingnya yang mempertahankan tindakan sesetengah pihak yang berbaik-baik semula dengan Tun Dr Mahathir yang selama ini menjadi musuh mereka.
“Ramai yang kurang senang atau tidak setuju dengan kerjasama pembangkang dan sesetengah NGO dengan Tun Mahathir. Mereka kata pembangkang dan NGO telah gadaikan prinsip mereka.
“Saya faham kegusaran mereka.
“Tetapi bukankah mereka yang menentang Tun Mahathir dahulu menatang beliau bukan kerana sosok Mahathir itu Mahathir, tetapi kerana apa yang sosok itu lakukan.
“Dan samalah juga, yang menentang rejim yang sedia ada bukanlah sebab ia ada sosok Najib Razak, atau Zahid Hamidi, dan lain-lain, tetapi kerana apa yang telah dilakukan,” tulis peguam hak asasi manusia itu.
Bagi beliau, berbaik atau bertembung dengan sesaorang adalah kerana prinsip bukan kerana pribadi.
“Bukankah perjuangan itu berlandaskan prinsip? Iaitu untuk membaikpulih sistem yang sedia ada, dan mereformasikan institusi-institusi negara, untuk membina Malaysia yang lebih baik?
“Maka jika sesiapa sekalipun yang mahu menyertai perjuangan ini, bukankah mereka wajar diberi peluang untuk berganding bahu untuk tujuan ini?” katanya.
Bagi beliau, “dahulu mereka yang menyebabkan kita berada di sini. Tetapi jika ada yang benar-benar mahu memperbetulkan keadaan, saya tidak lihat mengapa perlu kecualikan sesiapa sekalipun, walau Tun Mahathir sekalipun.”
Perjuangan yang sebenar, katanya, berpegang pada prinsip, bukan personaliti.
“Projek untuk menjadikan Malaysia unggul semula lebih besar daripada Anwar Ibrahim, Najib Razak, Mahathir Mohamad, Lim Kit Siang atau sesiapa sahaja.
“Mungkin satu hari nanti bila perjuangan itu selesai, mungkin kita boleh hitung semula siapa yang berdosa, siapa yang bertanggungjawab dan sebagainya.
“Tetapi selagi ia belum selesai, selagi itu saya tidak nampak keperluan untuk sesiapa meminta maaf dan mengakui kesilapan dan dosa lampau,” tulisnya lagi.