Datuk Seri Anwar Ibrahim gagal dalam cubaan terakhirnya untuk menggunakan saluran mahkamah untuk membersihkan dirinya daripada sabitan tuduhan liwat selepas Mahkamah Persekutuan hari ini menolak permohonan semakan kesnya.
Panel 5 hakim diketuai Hakim Besar Malaya Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin berkata tidak ada merit untuk menyemak permohonan itu.
“Ini bukan kes yang sempurna dan layak untuk mahkamah menggunakan bidang kuasanya,” katanya.
Hakim lain dalam panel itu ialah Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Richard Malanjum, Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Hasan Lah, Datuk Seri Abu Samah Nordin dan Tan Sri Zaharah Ibrahim.
Satu-satunya pilihan yang tinggal untuk Anwar pada masa ini ialah memfailkan permohonan kepada Lembaga Pengampunan.
Pada 2014, Mahkamah Rayuan mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi membebaskan Anwar daripada pertuduhan meliwat Saiful pada 2008, yang turut dikenali sebagai perbicaraan Liwat II.
Mahkamah Persekutuan pada 10 Februari tahun lalu mengekalkan hukuman itu, 11 tahun selepas Anwar dibebaskan daripada hukuman penjara 6 tahun kerana disabitkan pertuduhan menyalahgunakan kuasa dan liwat.
Anwar, 69, setakat ini menjalani hukuman penjara selama setahun 10 bulan di Penjara Sungai Buloh. FMT