Kerjasama yang dimeterai antara Pakatan Harapan dan Parti Peribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dilihat mampu menarik undi Melayu Umno kepada pembangkang pada pilihan raya umum ke 14 nanti.
Demikian ulas penganalisis politik Albert Teh dari sebuah badan bukan kerajaan. Katanya, Melayu merupakan lebih 60 peratus daripada pengundi berdaftar dan menjadi kuasa pemutus pihak manakah yang akan berkuasa di Putrajaya.
“Kerangka kerjasama yang telah ditandatangani di antara Pakatan Harapan (PH) dengan Bersatu adalah satu langkah yang baik untuk memastikan pembangkang mempunyai keteguhan dan kekuatan yang sempurna apabila menentang Umno-BN.
“Ini kerana dalam Pilihanraya Umum Ke-14 (PRU14) nanti, undi Melayu akan menjadi tumpuan utama (terbesar) sebab undi dari masyarakat inilah yang akan menentukan siapa akan menawan Putrajaya,” katanya.
Albert percaya PRU14 akan diadakan tidak lama lagi dan oleh itu, katanya, PH dan Bersatu harus menyusun strategi secepat mungkin supaya tidak hilang punca jika PRU dipanggil secara mengejut.
Beliau juga memberitahu ramalan dalam kalangan golongan usahawan menjangkakan PRU14 berlaku pada suku pertama tahun hadapan disebabkan oleh iklim ekonomi yang tidak memuaskan dan nilai matawang Ringgit yang lemah.
“Ramai usahawan berkata senario politik dan perniagaan adalah amat mengecewakan untuk tahun ini.
“Selain itu, Presiden Amerika Syarikat yang baru, Donald Trump akan menggiatkan usaha untuk menarik kembali pelaburan ke Amerika Syarikat dengan membangunkan lebih banyak industri di sana.
“Semua ini menunjukkan situasi Malaysia pada tahun hadapan tidak akan lebih baik daripada tahun ini. Justeru itu, PRU14 akan diadakan awal sebelum keadaan ekonomi di Malaysia bertambah teruk,” kata Albert lagi.
Mengulas tentang Pas, beliau berpendapat tiada apa-apa yang dapat dirundingkan dengan parti itu lagi.
“PH dan Bersatu perlu menghadapi hakikat ini dan menganggap PAS sebagai rakan sekutu BN serta merancang strategi dengan mengambil-kira faktor tersebut sebab PAS boleh memecahbelahkan undi Melayu dan ini tentu akan menguntungkan UMNO.
“Dalam PRU14 nanti, Umno akan memenangkan BN kerana parti-parti komponen lain terlalu lemah. Ini bermakna undi Melayu akan menentukan masa depan negara dan diharap mereka tidak akan terpedaya apabila tiba masa untuk memangkah calon,” tambah Albert.