Pengarah Pilihan raya Parti Amanah Negara (Amanah) Dr Hatta Ramli berkata, Pakatan Harapam (PH) dan Parti Peribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang menjalin kerjasama baru-baru ini akan menyegerakan pembahagian kerusi dan memulakan gerak kerja pilihan raya.
Katannya, PH dan Bersatu wajar bersedia untuk Pilihanraya Umum (PRU) Ke-14 dengan secepat mungkin agar tidak terperangkap sekiranya BN memanggil pilihan raya mengejut.
“Awal tahun hadapan, kami akan menubuhkan satu jawatankuasa untuk mencari dan menamakan calon-calon yang berpotensi untuk PRU14. Kami menjangkakan PRU akan diadakan sebelum bulan Mei 2017,” katanya kepada Suara pakatan daily.
Menurut Dr Hatta, Najib akan bertindak pantas bagi mengukuhkan kedudukan beliau sebagai PM dengan mendapatkan mandat baru ketika pelbagai skandal kewangan semakin membelit diri dan pentadbirannya.
“Ada rakan usahawan saya menjangkakan PRU14 akan diadakan pada bulan Februari 2017, iaitu selepas pemberian pertama BR1M pada bulan Januari.
“Rakyat tentunya akan mempunyai ‘feel good factor’ ketika itu yang mungkin akan mempengaruhi mereka mengundi BN
“Oleh yang demikian, masa adalah suntuk bagi kami mencari calon dari PH dan Bersatu di setiap negeri yang mempunyai peluang cerah untuk menang.
“Apa pun kami akan cuba bersiap sedia menghadapi PRU sebelum bulan April dan akan bekerjasama untuk memastikan bahawa hanya satu calon dari pihak pembangkang yang akan bertanding,” katanya lagi.
Bagaimanapun Dr Hatta enggan mengulas mengenai penglibatan PAS. Katanya, PH hanya akan memberi tumpuan kepada persediaan untuk calon-calon PH sahaja walaupun Bersatu akan cuba berunding dengan PAS.
Mengenai gerak kerja Amanah di bahagian akar umbi, Dr Hatta memberitahu parti itu menumpukan kepada Johor dan Selangor di mana ramai ahli PAS telah menyertai Amanah.
“Di Kelantan, Perak, Negeri Sembilan dan Terengganu, pendaftaran ahli baru juga amat memberangsangkan.
“Kalau kami mulakan gerak kerja awal dan menamakan calon yang ada ‘oomph power’, saya yakin kami ada peluang baik untuk memenangi PRU14,” jelas beliau.
Dr Hatta juga berpendapat BN sedang bersedia untuk PRU14 dalam masa terdekat kerana peruntukan untuk sekolah-sekolah di Sabah telah diberi dan sejak beberapa bulan kebelakangan ini terdapat banyak peruntukan untuk usahawan-usahawan Bumiputera serta diskaun untuk pelajar-pelajar yang mendapat pinjaman dari MARA.
“Semua ini adalah tanda jelas bahawa PRU14 sudah semakin hampir,” akhirinya.