Komuniti perniagaan Cina amat bimbang dengan kemerosotan nilai matawang ringgit yang seolah-olah tidak mampu dibendung oleh kerajaan.
Seorang peniaga Eric Tay berkata, situasi kejatuhan ringgit menyukarkan para peniaga terutama yang mengimport keperluan perniagaan dari luar negara untuk mngekalkan keuntungan perniagaan.
“Saya dan rakan-rakan usahawan berasa amat bimbang dengan situasi ekonomi negara kita kerana ringgit semakin merosot nilainya.
“Tengoklah, untuk mendapatkan 1 Dolar Amerika kadar tukarannya ialah RM4.51 sementara untuk mendapatkan 1 Dolar Singapura kita terpaksa mengeluarkan RM3.13.
“Kalau hal ini berterusan, apabila keretapi laju Malaysia – Singapura siap pada tahun 2026, maka orang Singapura sahajalah yang akan ramai datang ke Malaysia,” katanya kepada Suara pakatan daily.
Eric yang menceburkan diri dalam bidang jual-beli hartanah memberitahu kekecewaannya dan rakan-rakan melihat kelembapan kerajaan BN menangani masalah kejatuhan ringgit.
Menurut Eric, ringgit merupakan mata wang paling teruk jatuh di Asia sejak Donald Trump memenangi pilihan raya presiden di Amerika Syarikat pada 8 November lalu.
Mengulas mengenai pasaran hartanah, beliau menerangkan bahawa pasaran ketika ini ‘slow down’ kerana ramai orang mahu melihat situasi ekonomi pada tahun hadapan sebelum membeli hartanah.
Selain dari itu, katanya, orang ramai menjangka Pilihanraya Umum Ke-14 (PRU14) akan diadakan pada bulan Mac atau pun April 2017 dan oleh itu, situasi ekonomi pada masa sekarang disifatkan sebagai ‘cautious’ (berjaga-jaga) iaitu tidak ramai orang yang mahu berbelanja besar pada masa ini.
“Kerajaan juga nampaknya tiada polisi yang ‘substance’ (jelas) untuk mengatasi masalah ekonomi seperti harga barang yang semakin meningkat serta membebankan golongan kelas bawah dan sederhana,” ujar Eric.
Ketiadaan polisi yang jelas itu, kata beliau, menjauhkan lagi pelabur daripada menanam modal dalam ekonomi Malaysia.