Barisan Nasional (BN) takut dan gusar dengan gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), kata Datuk Hamidah Osman.
Naib presiden PPBM itu berkata kegusaran jelas terlihat apabila Datuk Seri Shahidan Kassim menyatakan akan berlaku pertikaian atau perebutan kerusi pilihan raya umum (PRU) antara PH dan PPBM, selepas memorandum persefahaman (MoU) ditandatangani parti pembangkang berkenaan.
Naib Presiden PPBM Datuk Hamidah Osman berkata BN juga sepatutnya tidak boleh mempertikaikan mengenai memorandum persefahaman (MoU) terbabit kerana ia juga belum sampai seminggu.
“Pada saya setakat ini semuanya positif. BN juga tidak patut mempertikaikan MoU itu kerana ia masih terlalu baru.
“Ahli jawatankuasa teknikal yang ditubuhkan akan bermesyuarat dalam tempoh terdekat.
“Saya lihat sendiri dalam mesyuarat sebelum menandatangani MoU itu, semua pimpinan amat positif,” katanya ketika dihubungi FMT hari ini.
Minggu lalu PH dan PPBM menandatangani MoU gabungan pilihan raya. Bagaimanapun, PPBM belum menyertai PH secara rasmi, sekalipun mendakwa mereka berkongsi perjuangan dan prinsip sama dengan blok pembangkang.
Semalam, Shahidan yang juga ahli Majlis Tertinggi Umno berkata tidak mustahil akan berlaku perebutan kerusi antara PH dan PPBM sekalipun sudah menandatangani MoU.
Katanya, pemeteraian MoU itu juga membuktikan wujud rasa saling tidak mempercayai satu sama lain antara 4 parti pembangkang berkenaan.
Hamidah berkata MoU itu menunjukkan mereka bersetuju untuk mengadakan manifesto dan bertanding dalam pilihan raya menggunakan 1 logo.
“Kita tahu parti lama contohnya DAP sanggup untuk tidak bertanding di bawah logo mereka tapi bawah satu logo yang sama. Ini perkara yang amat positif,” katanya.
Hamidah berkata perebutan kerusi juga tidak akan berlaku kerana mereka bersetuju meletakkan calon yang bertanding dalam pilihan raya berdasarkan boleh menang dan menumbangkan BN.
Mengulas isu sama, Naib Presiden PKR Dr Xavier Jayakumar berkata PH tidak ada masalah untuk bersama-sama dengan PPBM.
Katanya, kenyataan Shahidan itu menunjukkan mereka takut kepada PH dan PPBM.
“Mereka sebenarnya takut dengan kerjasama PH dan PPBM,” katanya.