Strategi Pas yang menolak untuk bersama Parti Amanah Negara (Amanah) dan DAP tetapi mahu bekerjasama dengan Parti Peribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menuju Pilihanraya Umum Ke-14 (PRU14) memeningkan parti-parti dalam Pakatan Harapan.
Menurut Pengarah Biro Komunikasi Amanah, Ir Khalid Samad sehingga kini tiada siapa yang jelas tentang ‘agenda sebenar PAS’ kerana pendirian parti itu sering berubah.
“Saya menggesa PAS supaya hentikan usaha memecahbelahkan pembangkang dan dengan itu menjadikan dirinya kelihatan seolah-olah alat kepada Umno,” katanya .
Khalid juga berpendapat bahawa PRU14 mungkin akan diadakan sebelum pertengahan tahun hadapan kerana banyak ‘gula-gula’ sedang diberi oleh kerajaan.
Menurut beliau lagi, oleh sebab masa semakin suntuk, PAS kini sedang membuat pilihan untuk memastikan koalisi mana yang akan menguntungkan mereka pada PRU14 nanti.
“Mungkin itulah sebabnya walaupun PAS sedang bekerjasama dengan BN, PAS belum menutup pintu terhadap kerjasama dengan pihak pembangkang,” kata Khalid.
Sementara itu, dalam tinjauan pilihan raya Suara pakatan daily, seorang usahawan hartanah Erickson Tan berkata, golongan usahawan sedang menunggu PRU14 sebelum membuat sebarang keputusan penting mengenai perniagaan mereka.
Menurutnya, rakan-rakannya yang pro-Pakatan Harapan (PH) berpendapat PAS akan memainkan peranan penting dalam PRU14 kerana parti itu mampu melemahkan atau pun menumbangkan Pakatan.
“Jika pihak pembangkang tidak tahu atau tidak mampu mengatasi masalah rundingan atau perbincangan dengan PAS, maka calon-calon PAS berkebarangkalian tinggi akan memainkan peranan besar untuk menjatuhkan pembangkang.
“Sebabnya tumpuan PRU14 ini adalah undi Melayu yang akan menentukan siapa yang akan berkuasa di Putrajaya nanti,” kata Tan.