Pas tidak tertakluk kepada mana-mana pihak yang telah membuat sebarang perjanjian pilihan raya pada masa ini dan juga tidak dipengaruhi oleh tekanan mana-mana pihak dalam membuat keputusan politiknya.
Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, strategi Pas berhubung pemilihan kerusi pilihan raya Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (Dun) bergantung kepada kekuatan parti itu di kawasan berkenaan.
“Keputusan di kawasan mana PAS bertanding, samada dua penjuru, tiga penjuru atau lebih, siapa dan bagaimana akan bertanding adalah akan mengikut maklumat kajian dan analisanya.
“Selain, pertimbangan keperluan dan kekuatan jentera PAS di setiap kedudukan kawasan pilihanraya berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu Pas meneruskan kerjasama dengan PKR, didekati PPBM, dan memusuhi DAP dan Amanah dalam Pakatan Harapan.Keengganan bekerjasama dengan PH menyebabkan parti Islam itu didakwa menerima habuan “dedak” – istilah yang dikaitkan dengan rasuah – dan tidak lagi berminat menukar kerajaan BN.
“PAS tidak melatah di atas persepsi karut sedemikian, apatah lagi melayan provokasi pelampau media sosial dan parti lawan yang saban waktu memesongkan berita mengenai PAS,” katanya.
Sebaliknya kata beliau, Pas akan terus memperjuangkan prinsip keadilan untuk semua kaum, menentang rasuah dan salah guna kuasa serta penyelewengan dalam kerajaan BN, dengan pendekatan politik matang dan sejahtera.