Ratu Naga dan beberapa ahli badan bukan kerajaan (NGO) yang mengadakan demonstrasi balas isu air mendakwa diserang dan dipukul di hadapan rumah Pengerusi Gabungan NGO Malaysia Datuk Seri Jamal Md Yunus dalam insiden simbah air, tepung dan baling telur pagi ini.
Ratu Naga atau nama sebenarnya Syarul Ema Rena Abu Samah bersama beberapa ahli NGO dari Pertubuhan Sinar Ehsan dan Kelab LLL Malaysia telah berkumpul di hadapan rumah Jamal pada jam 10 pagi tadi.
“Saya dan NGO nak bagi bantuan air ke rumah Jamal.
“Tapi bila saya tiba pada jam 10 pagi Jamal bersama lebih kurang 30 orangnya (penyokong) mengepung saya dan saya keluar dari kereta sebab nak hantar bantuan air saya diserang dan dipukul oleh penyokongnya,” ujarnya ketika itu beliau bersama enam orang menaiki dua buah kereta telah diserang.
Dakwanya pergaduhan tercetus apabila salah seorang penyokong Jamal telah mencampakkan baldi air ke arahnya dan lari lalu bermula pergelutan dengan membaling telur ke arah mereka.
“Berlaku pergaduhan di situ dan saya terpaksa bergelut dengan orang Jamal sambil dilindungi suami saya.
“Saya tak berganjak tetap bergelut. Mereka kata jangan kacau Jamal…jangan kacau Jamal,” ceritanya kepada Malaysia Dateline.
Menurut Ratu Naga yang kini menjadi ahli PKR berkata, beliau tidak faham mengapa hasratnya dan NGO terbabit untuk menghantar bantuan air Jamal dan penyokongnya bertindak sedemikian?
Sementara itu, menurut pengerusi Pertubuhan Sinar Ehsan, yang hanya dikenali sebagai Pak Anjang, Ratu Naga dan suaminya datang mewakili NGO bersama 4 ahli NGO lain termasuk dirinya dan wanita lain serta setiausaha NGO.
“Kami hanya datang untuk memberi air kepada Jamal selepas mendengar beliau 4 hari tak mandi,” katanya kepada FMT.
Beliau menjelaskan apabila mereka sampai di pintu kediaman Jamal, terdapat ramai orang menunggu dan Ratu Naga turun semata-mata. Ketika itulah beliau tiba-tiba diserang.
“Beliau menyuruh kami pergi di samping membaling telur, tepung dan menyimbah air ke atas Toyota Hilux kami naiki.”
Semalam Jamal yang juga Ketua Umno Bahagian Sungai Besar mengadakan protes tiada air di hadapan bangunan SUK Selangor
untuk membenarkannya mandi di pejabat Menteri Besar Selangor Datuk Seri Azmin Ali kerana beliau tidak mandi selama empat hari.