Nilai Ringgit akan lebih buruk pada tahun hadapan sekiranya kerajaan BN tidak mempunyai polisi yang mengembalikan keyakinan pelabur asing di negara ini.
Hal itu dinyatakan oleh seorang pelabur Jameson Tan, 60, yang memiliki kilang di Sungai Buloh, Selangor.
Jameson memberitahu, Federal Reserve (bank negara) Amerika Syarikat akan meningkatkan kadar faedah di negara itu sekurang-kurangnya sekali (mungkin 2 atau pun 3 kali) pada tahun hadapan, dan ini bererti ramai pelabur asing yang akan menarik keluar pelaburan mereka dari rantau Asia untuk menyimpan di negara Uncle Sam itu.
“Sebelum pertengahan bulan ini, US Federal Reserve telah meningkatkan kadar faedah sebanyak 0.25 mata. Oleh sebab itu nilai matawang di Asia dan di negara-negara membangun telah mengalami penurunan apabila pelabur asing menarik keluar modal mereka.
“Hasrat Presiden baru AS, Donald Trump untuk meningkatkan kadar pelaburan dan membangunkan sektor industri dan pekerjaan di sana pasti akan mengurangkan minat pelabur asing untuk melabur di rantau Asia Tenggara.
“Kalau kerajaan Malaysia tidak mengambil tindakan untuk mengukuhkan polisi kewangan, maka nilai Ringgit akan jatuh lebih teruk lagi pada tahun 2017,” kata Jameson kepada Suara pakatan daily.
Beliau berpendapat sehingga kini, kerajaan Malaysia masih belum menangani secara berkesan masalah kejatuhan nilai Ringgit yang masih berada pada paras RM4.50 untuk AS$1.
Selain daripada situasi yang diwujudkan oleh Trump, kata Jameson, imej Malaysia yang terjejas disebabkan oleh skandal 1Malaysia Development Berhad yang sedang disiasat oleh beberapa buah negara juga mengusarkan pelabur. Apatah lagi orang yang dikaitkan dengan 1MDB telah pun didapati bersalah di Singapura.
“Kini ramai pelabur asing sudah menarik keluar modal mereka dari Malaysia kerana mereka berpendapat iklim pelaburan serta senario politik di sini tiada hala tuju.
“Semua itu tidak menggalakan pelaburan untuk tahun 2017 dan kalau nilai Ringgit mencecah RM4.80 untuk USD1 maka amat teruklah untuk pelabur asing yang masih berada di sini,” katanya lagi.