Presiden MCA Dr Chua Soi Lek barangkali tidak mendapat laporan yang tepat dari pegawainya di Tenang apabila membuat rumusan pengundi Cina telah kembali menyokong BN di DUN itu berdasarkan beberapa kawasan pengundian yang dimenangi PAS pada PRU 2008, kini dikuasai semula oleh BN.
Menurut ahli parlimen Ipoh Timor dari DAP Lim Kit Siang, peratusan undi Cina yang diterima Pakatan Rakyat meningkat daripada yang diperolehi pada PRU 2008 lalu. Katanya, bagi DAP itu menunjukkan masyarakat Cina gagal ditakut-takutkan melalui kempen MCA yang memburuk-burukkan dasar Negara Islam PAS.
“Pemimpin MCA mendakwa BN menguasai tiga dari empat kawasan dominasi pengundi Cina yang mana mereka kalah kepada DAP (PR) dalam pilihan raya 2008, tetapi mereka sengaja mengelak isu peratusan undi Cina yang tinggi menyokong calon PR pada pilihan raya kecil kali ini
“Kawasan Bandar Labis Tengah yang mana mempunyai 95.7% pengundi Cina; sokongan ke atas PAS/PR meningkat 3.2% dari 66.7% pada 2008 kepada 69.9% dalam pilihanraya ini walaupun jumlah keluar mengundi turun 20 peratus.
“Analisis awal menunjukkan terdapat peningkatan 10% undi Cina kepada calon PR berbanding peningkatan 55% pada pilihanraya umum lalu
“Soalan pertama yang timbul selepas pilihanraya Tenang ialah mengenai peningkatan 10% sokongan masyarakat Cina ke atas calon PAS. Beranikah Presiden MCA, Datuk Seri Chua Soi Lek memberitahu Umno peningkatan sokongan Cina itu bukan untuk Hudud dan Negara Islam tetapi polisi PR untuk membuat perubahan ke arah keadilan, demokrasi dan kemajuan?”sinis Kit Siang dalam kenyataannya.
Lim turut meminta Chua memasukkan sekali faktor cuaca yang tidak mengizinkan pengundi keluar mengundi di dalam analisis mereka. Peratusan keluar mengundi hanya 67 peratus berbading pilihanraya umum lalu melebihi 75 peratus.
“Saya tidak ragu-ragu tanpa musibah banjir akibat hujan lebat kedudukan PR tentunya akan lebih baik. Agensi kerajaan amat selektif dalam mengeluarkan pengundi. Kebanyakannya hanya penyokong Barisan Nasional yang dihantar ke pusat membuang undi. Semua ini menyebabkan peratusan keluar mengundi menurun, terutama di kawasan Cina dan India,”bidas Lim.