Amanah Kelantan mahu rundingan PKR dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dengan blok ketiga, Gagasan Sejatera – Pas dan Ikatan menetapkan segera kawasan yang akan ditandingi di Kelantan.
Pengerusi Amanah Kelantan, Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah berkata kerusi-kerusi yang diberi kepada dua parti ini akan dipastikan pertandingan satu lawan satu melawan BN.
“Kita akan pastikan penyokong Amanah di kawasan berkenaan mengundi PKR dan PPBM yang merupakan parti sekutu kita.
“Amanah tidak akan sekali-kali meletakkan calon di kawasan berkenaan,” katanya.
Beliau meminta pemimpin-pemimpin kedua-dua parti memuktamadkan segera perundingan mereka dengan blok ketiga.
“Saudara Rafizi (Ramli) tolong beritahu pemimpin-pemimpin PKR supaya dapatkan persetujuan segera di mana mereka akan bertanding di Kelantan.
“Puan Anina (Saadudin) yang juga ada bersama kita malam ini, tolong beritahu Tan Sri Muhyiddin Yassin di mana kawasan yang akan diberi oleh blok ketiga untuk PPBM bertanding di Kelantan ini supaya pihak kita akan membuat persiapan untuk memastikan kawasan itu dimenangi dalam menentang BN nanti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan aluan di majlis ceramah Pakatan Harapan (PH) sempena acara makan malam kutipan derma PRU14 yang dianjurkan pemuda Amanah Kelantan di Kota Bharu semalam.
Parti Amanah katanya akan berpegang teguh kepada perjanjian kerjasama yang telah dimeterai antara PH dan PPBM.
“Seperti yang dicadangkan Tun Mahathir Mohamad, parti-parti yang telah mengikat janji untuk bersama ini tidak akan ada perlawanan sesama sendiri dalam mana-mana kawasan pilihanraya.
“Hanya salah satu parti sahaja akan bertanding di semua kawasan seluruh negara menentang parti pimpinan Najib,” katanya.
Di Kelantan bagaimanapun katanya situasi yang akan dihadapi mungkin berbeza.
“Sehingga ini, oleh kerana blok ketiga yang diketuai parti pemerintah peringkat negeri tidak mahu mengadakan rundingan dengan parti Amanah, kita membuat persiapan untuk bertanding tiga penjuru, “katanya.
Sejak awal menerajui Amanah Kelantan, Wan Rahim sentiasa mengulangi pendiriannya untuk berunding dengan parti-parti pembangkang lain bagi memastikan pertandingan satu lawan satu menentang BN.
Bagaimanapun pemimpin-pemimpin kerajaan negeri Kelantan terus menerus menyatakan pendirian keras tidak akan berunding sampai bila-bila dengan parti Amanah. Malaysia dateline