Pelajar universiti perlu bersikap kritis mengenai setiap perkara yang diajar sekiranya mahu melahirkan “ilmu yang benar”, kata seorang pensyarah sebuah universiti swasta.
Prof Tajuddin Rasdi, bekas akademik kanan Universiti Teknologi Malaysia, berkata peranan universiti ialah mendorong pelajar mempersoalkan setiap perkara.
“Dalam perbincangan, perlu ada orang dengan pendapat berbeza dan itu caranya pendapat baru ditemui,” kata Tajuddin, pakar senibina Islam yang kini mengajar di UCSI University.
Beliau berkata apa yang berlaku kini ialah pihak universiti cuba menetapkan pandangan penuntutnya.
“Hari ini, sekiranya universiti membantah pergerakan LGBT, ia mengadakan seminar menentang LGBT. Bagaimana mungkin kita dapat tahu pandangan di sebelah sana? Ini bukan ilmu, tetapi proses mempengaruhi,” katanya kepada FMT.
Menurutnya, proses mempengaruhi hanya dilakukan ke atas mereka yang tidak berupaya berfikir, seperti hamba abdi.
“Anda mempengaruhi hamba abdi supaya fikir dengan cara tertentu dan melakukan kerja tertentu.
“Sekiranya tujuan universiti ialah mempengaruhi orang dan mengharapkan penuntutnya tidak melakukan perkara yang tidak direstui, maka tidak akan ada kemajuan dan anda akan sentiasa tertinggal di belakang.”
Tajuddin mengulas demikian selepas tindakan disiplin terbaru melibatkan penuntut universiti awam tempatan.
Pada 15 Disember, aktivis siswa Anis Syafiqah Md Yusof digantung pengajian 1 semester, dan didenda RM400 atas pembabitannya dalam himpunan #TangkapMO1 di ibu negara Ogos lalu. Turut dikenakan tindakan sama ialah pelajar Mohamad Luqman Nul Haqim Zul Razali dan Muhammad Luqman Hakim Mohd Fazli, manakala Suhail Wan Azahar dikenakan amaran dan denda RM400.
Menurut Tajuddin, apa yang disebutkan sebagai aktivisme mahasiswa sebenarnya adalah menyerlahkan peranan sebenar universiti.
“Saya menganggapnya peranan baharu. Peranan anda di universiti. Ia dipanggil ‘universe’ity, bagi mencari perkara baharu di alam semesta ini.
“Sekiranya anda ke situ untuk tujuan mendapatkan kerja dan sijil dan jadi seorang arkitek, maka anda ibarat seorang pelajar bidang perniagaan dari sekolah perniagaan,” kata Tajuddin.
Tajuddin berkata proses mempengaruhi pelajar berlaku sebaik sahaja kanak-kanak memulakan alam persekolahan mereka.
“Sistem pendidikan Malaysia cuba menghasilkan manusia yang berfikiran seragam. Mereka memberitahu pelajar supaya memakai pakaian seragam, dengan gaya rambut seragam, dengan kasut seragam.
“Di Amerika Syarikat, mereka tidak lagi menjurus keseragaman, tetapi penyataan bersifat individu dan inilah kunci kreativiti dan kejayaan dalam industri, sains dan sebagainya.
“Ia kerana mereka menggalakkan idea kreativiti dan individualisme.” FMT