Tahun 2016 akan melabuhkan tirainya sehari sahaja lagi. 2016 bukanlah satu tahun yang memberangsangkan untuk majoriti rakyat negara ini kerana pada tahun ini banyak yang kehilangan mata pencarian apabila cawangan-cawangan bank dan kilang-kilang menghentikan operasi.
Tinjauan Suara pakatan daily ke atas Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah) Ir Khalid Samad, mendapati beliau fokus kepada satu isu yang menyebabkan kemuraman politik dan ekonomi sepanjang 2016, iaitu penyelewengan berbilion ringgit dana negara oleh Malaysian Official 1 (MO1).
“Untuk keseluruhan tahun ini, punca utama masalah negara ialah isu ‘MO1’. Selagi isu ini wujud maka Malaysia akan terus mengalami ketidaktentuan dalam hal politik mahu pun situasi ekonomi,” kata ahli parlimen Shah Alam itu.
Bagaimanapun Khalid optimis situasi politik dalam kalangan pembangkang akan lebih baik pada 2017. Katanya, pada awal Januari depan Pakatan Harapan (PH) bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan mengadakan mesyuarat bagi membincangkan persiapan pilihan raya umum (PRU) ke14. Khalid berpendapat pembangkang berpeluang cerah menawan Putrajaya kali ini.
Manakala tinjuan Suara pakatan daily ke atas 20 orang awam mendapati isu utama yang membelenggu mereka sepanjang 2016 dan mungkin berterusan pada 2017 ialah kelembapan ekonomi.
Eric Tay, 40 tahun, seorang agen hartanah berharap Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan mengumumkan kadar dividen lebih daripada 6 peratus pada tahun hadapan kerana katanya, ramai orang bergantung kepada KWSP sebagai simpanan hari tua berikutan kos hidup melambung dan menyukarkan mereka untuk menyimpan daripada wang gaji.
Bagi Alex Yong, seorang pesara, 70 tahun, berharap situasi politik akan lebih baik selepas PRU 14. Beliau berpendapat PRU akan dilaksanakan pada 2017 kerana keadaan eknomi semakin meruncing.
“Situasi ekonomi negara menurun, harga barang dan kos sara hidup semakin meningkat, ramai pelabur asing menarik keluar modal mereka.
“PRU14 tidak akan ditangguhkan sebelum situasi “bertambah teruk” disebabkan oleh nilai matawang kita yang semakin merosot,” kataya.
Seorang pemilik kedai barangan logam di Segambut, Robert Ong, 65 tahun, pula berpendapat tahun 2017 penuh cabaran yang disebabkan oleh faktor ekonomi sedunia ditambah dengan ketidaktentuan politik dan ekonomi dalam negara.
“Tidak kelihatan idea-idea yang bernas dari para pemimpin kita, pasaran pun lembab sebab ramai orang sedang berjimat-cermat.
“Saya harap kita akan dapat kerajaan yang baru selepas PRU14 nanti. Kita perlu beri peluang kepada PH untuk menjadi kerajaan pusat supaya kita dapat tengok sama ada mereka mempunyai idea-idea yang dinamik ataupun tidak,” tambah Robert.