Azam tahun baharu pemimpin Parti Amanah Negara (AMANAH) adalah untuk melakukan perubahan total kepada negara.
Demikian ditegaskan oleh Timbalan Presiden Amanah, Sallahudin Ayub. Katanya, Amanah komited untuk melaksanakan perubahan penyeluruh sebagaimana dicita-citakan oleh seluruh rakyat negara ini.
“Siapa pun Perdana Menteri Malaysia selepas Pilihan Raya Umum ke-14 nanti tidak akan menjadi penghalang kepada agenda perubahan yang diimpikan tersebut. Perubahan besar institusi ini wajib dilakukan bagi memastikan sistem bernegara baru yang mampu mengawal segala salah laku, penyalahgunaan kuasa dan perlanggaran kuasa berulang kembali.
“Penghadan tempoh 2 penggal bagi jawatan Perdana Menteri, penstrukturan semula institusi Parlimen dan peranannya serta mewujudkan badan yang berintergriti bagi menyaring perlantikan berapa jawatan utama dalam sistem pentadbiran negara seperti Peguam Negara, Ketua Polis Negara, Ketua Setiausaha Negara dan sebagainya adalah sebahagian daripada kerangka besar perubahan yang saya maksudkan.
“Semua ini akan cuba saya usahakan secara yang terbaik melalui pengembelingan tenaga dan pemikiran bersama rakan-rakan seperjuangan dalam Pakatan Harapan dan Bersatu.
“Saya juga akan terus berusaha meneruskan agenda “engagement” dengan tokoh-tokoh negarawan, badan-badan bukan kerajaan, bekas-bekas penjawat awam, teknokrat-teknokrat dan sesiapa saja yang sudi bersama menyumbang kepada agenda perubahan untuk menatijahkan sistem tadbir urus negara yang mapan dan lestari serta jitu bagi memacu negara menjadi sebuah negara yang berdaya maju, dihormati dan bermanfaat untuk seluruh warga tanahair dan dunia keseluruhannya,” katanya dalam satu kenyataan.
.