Ahli Parlimen Terengganu Raja Kamarul Bahrin Shah sependapat dengan Tun Dr Mahathir Mohamad dalam mempersoal kewajaran sumber dana Malaysia Development Berhad (1MDB) digunakan untuk mengerjakan haji.
Beliau berkata perkara itu turut dibangkitkannya sejak dua tahun lepas di parlimen selepas pendedahan bahawa 1MDB melabur dana di kepulauan Cayman.
“Saya sendiri sudah berkali-kali bertanya di Parlimen sejak dua tahun lepas mengapa wang 1MDB telah dilaburkan di sistem kewangan ke Pulau Cayman, iaitu pusat terkenal simpanan wang judi, dadah dan kongsi gelap terkenal dunia, dan adakah sumber wang ini digunakan untuk membiayai haji oleh 1MDB?
“Soalan ini dikemukakan semasa perbahasan akta Penggubalan wang haram untuk kerajaan memberi penjelasan kerana bumi Allah ini luas dan banyak lagi tempat lain boleh kita melabur,” katanya dalam kenyataan hari ini.
“Menteri di Jabatan Perdana Menteri tidak memberi jawapan yang jelas selain menyatakan “ia adalah pelaburan jangka masa pendek”.
“Kalau perbuatan itu haram ia tetap haram walaupun untuk jangka masa pendek kerana ada banyak lagi pilihan lain yang halal,” tegasnya.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kritikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Asyraf Wajdi Dusuki terhadap Mahathir yang mempersoal kewajaran wang 1MDB digunakan untuk menaja haji.
Raja Bahrin juga berkata, banyak lagi rahsia kegunaan wang pelaburan 1MDB di tempat yang haram terbongkar termasuk kegunaannya oleh rakan kongsi niaga bersama 1MDB di Abu Dhabi dalam pelaburan dua kelab malam terkenal di Las Vegas berjumlah beratus juta dollar wang Amerika.
“Kerajaan Amerika sendiri pula mendedahkan wang 1MDB dilaburkan untuk membuat filem berunsur lucah bertajuk Wolf of Wall Street.
“Selebriti Hollywood Leinardo DeCaprio yang menjadi pelakon utama memberi kesanggupan memulangkan wang diterima beliau kepada rakyat Malaysia jika ia merupakan wang diperoleh dengan tidak sah,” katanya lagi.
Raja Bahrin juga menegur juga menegur sikap membisu Mufti Pahang Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman terhadap isu skandal 1MDB.
“Mufti Pahang pula menegur kenyataan Tun Mahathir tetapi memilih untuk menjadi ahli argamawan bisu sejak tercetusnya skandal 1MDB sejak beberapa tahun lepas.
“Kerana sekarang beliau telah menunjuk minat dalam isu ini, saya mohon Mufti Pahang dan Datuk Asyraf dengan segala hormatnya memberi pandangan adakah wajar Kerajaan Malaysia melabur wang 1MDB di pusat wang judi, dadah, kongsi gelap serta penggubalan wang haram yang terkenal dunia di kepulauan Caymen?” soalnya.
Beliau berkata, argamawan mesti bercakap benar walaupun pahit di depan pemerintah yang zalim.
Islam meminta kita senantiasa berlaku adil. Adalah mulia perbuatan seorang argamawan bercakap benar walaupun betapa pahitnya di depan pemerintah yang zalim. Bukan hanya menegur mereka yang tiada lagi apa-apa kuasa hari ini walaupun pernah disanjung seketika dahulu semasa dia berkuasa. Tidak sepatutnya wujud istilah ulama cari makan,” katanya.