Pengarah Strategi Parti Amanah Negara (Amanah) Dr. Dzulkefly Ahmad berkata pemimpin dan ahli-ahli parti pembangkang harus berusaha keras mencelikkan minda rakyat perihal isu ekonomi negara.
Katanya, apabila rakyat faham mengapakah pengurangan atau pemotongan subsidi menyebabkan harga minyak masak atau harga barang keperluan lain melambung, baharulah wujud penentangan bermakna ke atas BN dalam pilihan raya umum (PRU ke 14 kelak.
“Hanya kalau rakyat sudah celik berpolitik dan bijak mengundi maka laluan PH untuk menerajui Kerajaan Pusat dipermudahkan. Parti-parti pembangkang perlu mengutamakan hal ini berbanding yang lain-lain dan menyusun strategi penerangan dalam masa yang terdekat,” kata beliau kepada Suara pakatan daily.
Sementara itu, mengulas isu desas-desus Parlimen akan dibubarkan pada bulan Februari atau bulan Mac selepas bayaran BR1M siri pertama dikeluarkan, Pengarah Komunikasi Amanah Ir Khalid Samad berkata, ramalan itu mungkin akan berlaku.
Namun bagi Khalid, pembangkang wajar mempunyai strategi penerangan yang berkesan ‘meneutralkan’ BR1M adalah hak rakyat dan mereka tidak perlu terhutang budi kepada BN.
“Kalau rakyat digesa membalas jasa dan menyokong BN semasa pilihan raya, maka ini merupakan ‘pembelian sokongan’. Saya berharap rakyat berfikir panjang sama ada cara menangani masalah ekonomi dengan BR1M adalah berkesan ataupun tidak.
“Saya cadangkan Pakatan Harapan menekankan bahawa BR1M adalah hak mereka dan tiada kena-mengena dengan pilihan raya. Orang yang dapat BR1M tidak semestinya undi BN,” katanya.
Ahli parlimen Shah Alam itu berkata rakyat sepatutnya memilih parti yang mempunyai polisi ekonomi yang mantap, bernas serta mampu menyelesaikan masalah ekonomi, bukannya memberi bantuan berskala kecil kemudian membiarkan kos hidup melambung.